905) HARIAN METRO 16/9/13 (Berita Utama )- Isteri muda kena silat
27 Sep 2013
Kuala Lumpur:
“Dia berperwatakan seperti ustaz dan memberitahu mengahwini saya
semata-mata kerana Allah, namun selepas berkahwin saya bukan saja dicaci hampir
setiap hari, tapi turut dipukul, disepak dan kepala saya pernah dihentak dengan
penukul.”
Demikian rintihan
seorang mualaf yang kini melarikan diri daripada bekas suaminya, seorang guru
silat selepas tidak tahan dikasari, termasuk pernah dipukul lebih 20 anak murid
lelaki itu kerana dituduh bersekedudukan dengan lelaki lain.
Mangsa yang mahu
dikenali sebagai Hanim, 32, berkata, dia mengenali lelaki berusia 50-an itu
pada 2005 kerana belajar pencak silat daripadanya.
“Ketika itu,
saya baru bercerai dengan suami pertama dan tidak lama kemudian saya berkahwin
dengannya selepas diyakinkan bahawa pernikahan kami hanya semata-mata kerana
Allah SWT,” katanya.
Hanim berkata, dia
menjadi isteri kedua dan pada masa sama turut menguruskan aktiviti pertubuhan
silat milik suaminya.
“Malangnya,
kebahagiaan yang saya kecapi hanya sekejap…tak sampai setahun selepas
berkahwin, sikap sebenarnya mula terserlah.
“Saya selalu
diherdik, dipukul dan dicaci dengan panggilan seperti babi, anjing, beruk,
syaitan dan celaka. Malah, dia juga sanggup memijak perut menyebabkan saya
rasakan hidup ini tidak ubah seperti seorang hamba.
“Dia hanya
berbuat baik dengan saya ketika ingin melakukan hubungan seks dan memberi
alasan sudah tiada ‘selera’ dengan isteri pertama. Paling mengejutkan, dia
sanggup meliwat biarpun saya merayu supaya tidak diperlakukan sedemikian,”
katanya.
Hanim ditemui Harian
Metro selepas membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, di sini, semalam.
Menurutnya, guru
silat itu juga menyuruh dia mengingati wajahnya setiap kali menunaikan solat
menyebabkan dia curiga dengan amalan agama lelaki berkenaan.
“Dari segi
nafkah zahir pula, saya hanya diberikan RM50 sebulan serta dibelikan pakaian
baru hanya empat kali sepanjang lapan tahun berkahwin,” katanya.
Tidak tahan
diperlakukan begitu, Hanim meminta cerai dan lelaki itu bersetuju untuk
berpisah secara baik pada Mac lalu, namun hanya beberapa hari kemudian lelaki
itu merayu-rayu supaya mereka rujuk semula.
Bagaimanapun, Hanim
tidak sanggup lagi menempuh penderitaan lalu membawa diri ke Selangor selepas
perceraian mereka disahkan mahkamah.
“Dengan bantuan
seorang rakan lelaki, saya pertama kali sampai ke Selangor dan menginap di
sebuah hotel bajet.
“Ketika saya
berehat di dalam bilik, sekumpulan lelaki muncul dan mendakwa mereka daripada
jabatan agama sebelum terus menahan saya atas tuduhan khalwat, sedangkan ketika
itu rakan saya berada di lobi hotel.
“Dalam
perjalanan keluar dari bilik, saya lihat rakan saya itu cedera akibat dipukul
sekumpulan tidak dikenali. Saya juga nampak bekas suami bersama anak murid
silatnya turut berada di situ,” katanya.
Hanim berkata, dia
kemudian dibawa ke pejabat agama dan dibebaskan tidak lama kemudian.
“Sejurus
dibebaskan saya terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis dan
ketika itulah bekas suami datang bersama lebih 20 lelaki dan mereka membelasah
saya hingga cedera di seluruh badan,” katanya.
Sejak kejadian itu
yang berlaku Mac lalu, mangsa mengambil keputusan untuk tinggal bersama seorang
kenalan di Kuala Lumpur kerana tidak sanggup terus dikasari bekas suaminya.
Hanim berkata, dia
kini tertekan dan sukar meneruskan kehidupan kerana semua barang-barang
termasuk dokumen peribadi masih berada dalam simpanan bekas suaminya.
“Saya tak
sangka begini akhirnya pengorbanan saya kepadanya. Apapun, sebagai seorang
Islam, saya reda dengan takdir ini dan ia sedikit pun tidak menggoyahkan iman
saya dengan agama Allah ini,” katanya.
Sementara itu,
Nadzim berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan dan akan merujuk kepada
agensi berkaitan untuk pembelaan.
Katanya berdasarkan
aduan berkenaan, PPIM mendapati wujud penganiayaan kepada Hanim yang tidak
sepatutnya dilakukan kepada seorang saudara baru sepertinya.
Post Views: 184