Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
914) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 27/9/13 : Antara agenda peruntukan dengan pelaksanaan
27 Sep 2013

Oleh DR. AHMAD ZAKI
ISMAIL
PERTAMANYA berita
terhangat adalah janji Perdana Menteri memperuntukan berbilion-bilion ringgit
lagi untuk diagihkan kepada bumiputera. Maka riuh-rendah pula para penyokong
dan NGO menyokong bahawa Perdana Menteri sangat berani dan prihatin dengan
nasib bumiputera. Tetapi benarkah itu semua?
Tidak perlu jauh
meneliti tidak susah untuk mengkaji, tanya sahaja para peniaga dan usahawan
bumiputera di mana sahaja anda temui. Tanya dengan ikhlas dan minta mereka
jawab dengan penuh rasa tanggungjawab. Benarkah mudah mendapat bantuan,
sungguhkah anda pernah memperolehi pinjaman atau tahukah bagaimana untuk
mendapatkan modal pusingan.
Tentu anda semua
terpinga-pinga apabila mendapati hampir 90 peratus tidak sampai kepada golongan
sasaran berkenaan kerana setiap bantuan tersebut tidak tersalur kepada golongan
ini.
Mungkin ramai orang
yang teruja dengan statistik peruntukan yang disediakan, tidak kurang juga yang
teruja dengan janji yang diberikan tetapi hakikatnya kepada para usahawan dan
peniaga bumiputera tulen ia cuma satu lagi pengumuman bagi mengalih perhatian.
Sebenarnya ia sudah
lama menghantui kumpulan usahawan IKS bumiputera selama ini. Mereka telah
dijanjikan, mereka telah dimaklumkan dan sudah pun diuar-uarkan diberikan
pelbagai peruntukan dana yang jumlahnya juga berbilion-bilion sebelum ini. Baik
yang berupa pinjaman malah ada juga dalam bentuk geran.
Malangnya dana itu
bukan sahaja tidak diperolehi tetapi dijadikan komoditi dagangan pula oleh
agensi pentadbir dan pengurus yang dilantik oleh Kementerian Kewangan. Dengan
jumlah dana yang begitu besar, tentunya agensi pengurus memperolehi banyak
keuntungan jika disimpan selama mungkin dalam tabungan mereka.
Dengan itu, di
hujung tahun sudah tentu penyata untung rugi mereka menunjukkan angka
keuntungan yang besar dan Ketua Pegawai Eksekutif mereka mendabik dada kononnya
mereka pandai berniaga.
Lebih buruk lagi,
sesetengah kakitangan agensi yang mengurus dana seolah-olah sengaja mencari
salah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menggagal dan melewatkan proses
pengeluaran dana berkenaan.
Mereka bukan sahaja
tidak bertindak sebagai pemudah cara tetapi lebih kepada penghalang kepada
pemohon daripada mendapatkan fasiliti berkaitan. Akhirnya, saban tahun dana
berkenaan tidak pun dikeluarkan ataupun hanya sebahagian yang terlalu kecil
sahaja yang berjaya mendapatkannya.
Ramai antara mereka
yang terdesak terpaksa beralih kepada peminjam wang berlesen dan ahlong bagi
mengatasi masalah kecairan tunai terutama untuk kerja-kerja yang memerlukan
pematuhan kepada jadual dan tarikh yang termaktub dalam kontrak.
Isu utama yang sebenarnya
kepada para usahawan IKS bumiputera bukan ketiadaan dana tetapi dana berkenaan
tidak sampai kepada mereka. Semak sahajalah tabung-tabung dana yang sudah
diluluskan sebelum ini, melambak yang gagal diagihkan kepada golongan sasaran
dengan alasan-alasan yang sengaja di reka dalam laporan tahunan agensi pemegang
amanah yang diberikan tugas.
Sepatutnya Ketua
Pegawai Eksekutif dan para pegawai kanan agensi berkaitan di kenakan tindakan
tatatertib dan ditamatkan perkhidmatan mereka kerana kegagalan mereka inilah
yang menyebabkan pencapaian sasaran DEB tidak mampu di capai menurut pelan asal
dan semakin merosot muttakhir ini.
Adalah lebih baik
kesemua agensi yang telah diberikan amanah ini dipantau dengan lebih ketat dan
sentiasa berusaha dengan penuh komited mengagihkan dana yang diperuntukkan itu
bagi menjamin segala agenda yang sudah di atur akan berupaya digerakkan dan
mencapai matlamatnya.
Mungkin juga inilah
di antara sebabnya ramai orang Melayu kelas pertengahan amat kecewa dengan
pemerintah kerana merasakan mereka di abaikan meskipun banyak yang telah
dilakukan kerajaan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah.
Golongan pertengahan
ini sebenarnya amat berpengaruh kerana menggaji ratusan pekerja dan pekerja
berkenaan mempunyai ribuan pula ahli keluarga yang sudah tentu sedikit sebanyak
berkongsi pendapat dengan majikan mereka.
Adalah kena pada
masanya pada persidangan UMNO yang akan datang, isu ini dibincangkan dengan
lebih teliti dan mendalam kerana tidak guna hujah yang berdegar-degar umpama
ayam jantan yang berkokok nyaring namun ekornya masih bergelumang tahi.
Menjadi hero bukan
dengan bijak berbahas tetapi kini orang Melayu dan bumiputera mahu melihat
kesetiaan dan ketaatan mereka dibayar dengan imbuhan yang sepadan. Bukan sering
di kesampingkan hingga muncul bidalan kera di hutan sentiasa disusukan.
Para aktivis NGO
bumiputra sendiri turut merasa terkilan apabila suara mereka yang sering
menyokong dan membantu meskipun kadang kala mengkritik secara membina masih
dipandang sepi.
Semua ini sebenarnya
bergerak seirama dan ia bukan secara terpencil. Kalau kita berlapang dada dan
mengambil sedikit inisiatif untuk meneliti senario semasa maka kita tentu akan
menyedari apa yang berlaku dewasa ini sebenarnya merupakan gerakan- gerakan
terancang yang begitu teratur dilaksanakan satu persatu tanpa kita sedarnya
jika kita memandang secara sambil lewa.
Sebaliknya, amat
menyedihkan apabila kita melihat di sana sini, politikus masih bermain politik
dan politiking tetap memainkan agenda cah keting. Kawan ditikam dari belakang,
perebutan takhta dan kuasa masih berleluasa dan tidak mungkin boleh
disembunyikan meskipun cuba ditutup dengan nyiru alaf baru senyum palsu dan
dakapan tipu.
Inilah yang
dikatakan kena buka mata, telinga akal dan minda sebagai orang yang diberi
kuasa, baik ahli politik atau para pegawai pentadbir supaya mempunyai agenda
dan saling bantu membantu dalam melaksanakannya demi kepentingan ummah. Kenapa
kuasa politik dan pentadbiran yang berada di tangan kita, tidak mampu digunakan
menjadi pelantar untuk mengukuhkan pengagihan kek ekonomi dan kekayaan negara
secara adil dan sama rata.
Isu yang paling
mudah kita lihat ialah bagaimana kes penguasaan pasaran iklan di sektor
komersial telah tidak berupaya dimanfaatkan sebaik-baiknya sehingga orang lain
melapah dengan lahap peruntukan untuk sektor berkenaan. Walhal media pembaca
dan penonton sebenarnya dikuasai oleh yang berbahasa Melayu dan sudah tentu
kalau mengikut justifikasi pengiklanan, kena mengutamakan media berbahasa ini
sebab impak kepada pasarannya lebih meluas.
Malangnya, mereka
yang membuat keputusan dipengaruhi oleh sentimen bodoh sombong seperti mana
yang berlaku baru-baru ini sehingga sanggup memperlekeh bahasa dan bangsa
sendiri dan mereka diletakkan di tempat yang begitu strategik dan tinggi.
Salah siapakah
sebenarnya yang mewujudkan golongan kaduk naik junjung dan tidak sedar diri
ini. Kalau kerajaan bertindak tegas dan serta-merta kepada golongan ini maka
kaum bumiputera tentu merasa gembira dan terbela kerana mereka telah memberikan
amanah kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib mereka bukan
kepada golongan lupa diri itu.
Jangan apologetik
lagi, masa berbasa basi sudah berlalu. Rakyat mahu keputusan drastik dan mampu
melihat kerajaan membalas budi mereka. Hapuskan tohmahan bahawa kenaikan harga
minyak baru-baru ini sebagai hadiah kerana mengundi BN. Buktikan bahawa bukan agenda
minyak sahaja yang penting tetapi mengambil kembali kuasa, memposisikan kembali
arah, menggerakkan semula agenda tanpa sebarang kompromi, itulah yang ingin
dilaksana.
Semoga persidangan
UMNO yang bakal datang bukanlah hanya sebagai gelanggang mengadu domba kuasa,
merungkai persahabatan yang sudah sembuh daripada luka tetapi lebih kepada
menggerakkan jentera pelaksana membalas budi rakyat jelata. Jangan susu yang
diberi dibalas pula dengan tuba.
DR. AHMAD ZAKI
ISMAIL
Penasihat Pertubuhan
Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130927/re_07/Antara-agenda-peruntukan-dengan-pelaksanaan#ixzz2g7FYhSN8© Utusan Melayu (M)
Bhd