939) Bisik-Bisik Mingguan Malaysia 20/10/13-KISAH PETRONAS
05 Nov 2013
CAKAP-CAKAP tidak puas hati terhadap prestasi
Petronas dalam memperkasakan bumiputera terus menjadi bahan bualan.
Setakat ini belum ada penjelasan yang meyakinkan
daripada syarikat petroleum nasional itu.
Seperti biasa, dinyatakan jumlah syarikat
bumiputera yang diberi peluang sebagai vendor termasuk dalam industri minyak
dan gas.
Persoalannya berapakah nilai yang diperoleh
usahawan dan syarikat bumiputera berbanding bukan bumiputera yang khabarnya
jauh lebih besar.
Begitu juga dengan dakwaan bahawa peluang pegawai
kanan bumiputera dalam Petronas untuk meningkat naik pada kedudukan lebih
strategik makin terhad.
Ada banyak lagi isu termasuk membabitkan Petronas
Dagangan Berhad (PDB), anak syarikat Petronas.
Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam (PPIM)
mendakwa PDB menganaktirikan usahawan bumiputera terutama dalam memberi peluang
perniagaan di rangkaian Kedai Mesra Petronas.
Persatuan tersebut telah banyak menerima rungutan
berkaitan PDB yang tidak mencerminkan peranannya sebagai syarikat milik
kerajaan (GLC).
Bagi PPIM, Petronas mahupun PDB tidak mengambil
pendekatan responsif terhadap teguran, bagai mencurah air di daun keladi.
Mungkin ada kelemahan dalam aspek penyampaian dan
pengurusan maklumat di pihak Petronas terutama kepada masyarakat bumiputera.
Atau ada isu berkaitan jati diri dalam kalangan
segelintir penjawat tertentu. Alasan yang selalu diberi adalah atas
pertimbangan komersial semata-mata, yang ia juga terdedah kepada manipulasi kartel dan orang tertentu dalam Petronas.
Apa pun, Awang masih menjadi penyokong tegar
Petronas. Setidak-tidaknya, sudah berpuluh tahun setia mengisi minyak di stesen
Petronas.
Sebagai pengamal media pula, Awang tidak taksub
berpegang kepada pertimbangan jurnalisme semata-mata, yang membolehkan apa
sahaja kepincangan dalam Petronas didedahkan, jika mahu.
Pertimbangan nasionalisme mengatasi pertimbangan
lain apabila melibatkan Petronas.
Malah sejak dulu lagi Utusan menjadi akhbar paling
komited mempertahankan Petronas apabila diserang dan ditohmah termasuk oleh
pemimpin pembangkang, biarpun tidak dihargai.
Tetapi mana tahu, Awang berubah selepas ini jika
Petronas tidak prihatin kepada keluh kesah pengguna terutama bumiputera dan
kelihatan angkuh.
Lagi pun, minyak petrol sama ada di stesen
Petronas, Shell, Petron atau BHP sama sahaja. Warna logo dan hiasan Petron yang
merah menyala misalnya, lebih ceria serta memikat.
Untuk apa lagi setia?
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131020/re_04/Kisah-Petronas#ixzz2jlAKRbyh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 203