940) UTUSAN MALAYSIA 25/10/13-Bajet 2014: Tumpu tingkat taraf hidup rakyat
05 Nov 2013
KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) pengguna menyarankan kerajaan supaya menumpukan perhatian terhadap kesan
penyelarasan subsidi serta meningkatkan taraf hidup rakyat dari golongan berpendapatan
rendah dan sederhana dalam Bajet 2014.
Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah
Persekutuan, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, penekanan terhadap peningkatan
kos sara hidup memang diharapkan pihak NGO pengguna terutamanya dalam
memastikan kesan penyelarasan subsidi supaya berada pada tahap minimum.
Menurutnya, kerajaan telah memberi banyak inisiatif
kepada rakyat tetapi adalah lebih baik jika perkara itu memberi manfaat
berterusan bagi mengurangkan kos sara hidup.
“Sebagai contoh, kerajaan boleh menambah dan
memperluaskan lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia ke
kawasan bandar mahupun luar bandar kerana manfaat yang berterusan dapat
diperoleh pengguna.
”Ini kerana pengguna agak terkesan dengan beberapa
penyelarasan subsidi yang membabitkan kenaikan harga barang,” katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar melaporkan bahawa kerajaan akan memberi
tumpuan khusus kepada langkah-langkah untuk menangani peningkatan kos sara
hidup melalui Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen esok.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menyarankan agar
isu kenaikan gaji penguat kuasa undang-undang, khususnya pegawai polis dikaji
semula kerana gaji minimum mereka masih di bawah paras miskin bandar.
“Gaji minimum sebanyak RM1,300 tidak lagi
relevan pada masa kini terutamanya bagi yang bekerja di bandar dan terpaksa
menyara hidup keluarga. Mereka juga terpaksa bekerja sambilan untuk memperoleh
pendapatan lebih baik.
“Apabila dilihat kembali, perkara ini boleh
menjejaskan karier mereka sebagai penguat kuasa undang-undang dan secara tidak
langsung institusi kerajaan turut terjejas kerana pekerjanya tidak menepati
kualiti diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan
Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya
menyarankan supaya kerajaan memberikan tumpuan dalam usaha membantu golongan
berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini.
“LPKPM menyarankan agar kerajaan dapat
mengambil tindakan drastik dengan menghapuskan cukai pendapatan yang dikenakan
terhadap mereka yang berpendapatan sederhana.
“Pemansuhan cukai pendapatan ini
sedikit-sebanyak dapat membantu golongan tersebut berjimat cermat, sekali gus
boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan lain,” katanya.
Selain itu, jelasnya, bagi mereka yang tinggal di
bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, perbelanjaan harian yang ditanggung
amat tinggi sedangkan gaji kecil, menyebabkan golongan itu sukar menyimpan wang
untuk masa hadapan.
“Oleh itu, kerajaan turut disaran memberikan
subsidi tambahan terhadap barangan harian seperti gandum, gula dan minyak masak
dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan harian yang ditanggung,” ujar
beliau.
Post Views: 212