KUALA LUMPUR 30 Okt. – Minyak masak yang diguna
berulang kali meningkatkan risiko serangan jantung dalam kalangan pengguna
berikutan peningkatan kelikatan kandungan hidrokarbonnya.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti
Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Suzana Shahar
berkata, penggunaan minyak masak secara berulang kali juga boleh menyebabkan
salur arteri tersumbat, risiko hipertensi selain merosakkan hati.
Menurut beliau, minyak masak sepatutnya digunakan
tidak lebih tiga kali kerana penggunaan lebih daripada itu akan menyebabkan
struktur asid lemak dalam minyak masak bertukar kepada asid lemak trans yang
berbahaya kepada kesihatan.
“Selain itu,
pelbagai penyakit kanser juga boleh berlaku akibat penggunaan berulang kali
minyak masak tetapi sakit jantung merupakan risiko paling utama,” katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) berhubung hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai
hasil kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.
Dalam pada itu, Suzana memberitahu, risiko kepada
kesihatan daripada penggunaan minyak masak sering ditekankan pakar pemakanan
yang tidak menggalakkan pengguna mengambil terlalu banyak makanan bergoreng.
  

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131031/dn_07/Tingkat-risiko-sakit-jantung—Suzana#ixzz2jmbT91Ne
© Utusan Melayu (M) Bhd