Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
959) BERITA HARIAN 1/11/13-Minyak kitar semula dikhuatiri ada lemak babi
05 Nov 2013

Oleh: Oleh Halina Mohd Noor
Kuala Lumpur: Proses menjernihkan minyak masak
terpakai yang terlalu mudah dan murah mendorong pengusaha menukarkannya kepada
minyak masak kitar semula berbanding biodiesel.
Dengan hanya menggunakan asam keping atau asam
jawa, minyak masak terpakai yang hitam pekat bertukar lebih jernih dengan
tekstur lebih ringan dalam beberapa minit saja.
Pengeluar biodiesel berasaskan minyak masak
terpakai, Jaafar Abdullah (gambar), berkata minyak masak terpakai terlebih dulu
dimasak dengan asam keping selama beberapa saat pada suhu 60 hingga 70 darjah
Celsius sehingga berbuih dan dibiarkan sejuk serta sisa di dalamnya mendap.
Katanya, bahagian permukaan minyak kemudian ditapis
dengan sejenis karbon yang diaktifkan bagi mendapatkan minyak lebih jernih atau
sekurang-kurangnya 60 peratus jernih.
“Minyak sudah jernih itu kemudian dicampur
dengan minyak masak baru sebanyak 20 peratus, bergantung kepada jumlah minyak
yang ditapis tadi,” katanya.
Sukar kesan lemak babi
Beliau juga mendakwa agak sukar untuk mengesan
lemak babi atau nama saintifiknya, Trans C161 dalam minyak masak kitar semula
berbanding lemak haiwan lain selepas ia bercampur dengan minyak baru.
“Proses menjernihkan minyak masak juga boleh
dilakukan dengan menggunakan bahan lain seperti kulit telur atau cengkerang.
Bagi industri lebih besar, ia dijernihkan menggunakan sejenis serbuk dikenali
sebagai ‘bleaching earth’ yang diperoleh dari China atau Thailand,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr
Noor Hisham Abdullah, berkata tiada bukti menunjukkan minyak masak dalam paket
adalah minyak masak kitar semula seperti didakwa, berdasarkan pemeriksaan ke
atas 149 premis yang membungkus semula minyak masak.
Guna minyak masak jenama
Katanya, pemeriksaan ke atas 305 premis makanan
pula didapati semua premis berkenaan menggunakan minyak masak yang mempunyai
label atau jenama.
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan berdasarkan
peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 iaitu mana-mana orang yang didapati
mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula
boleh memudaratkan kesihatan.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13,
Akta Makanan 1983, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak
melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya,”
katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan
mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan,
pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula termasuk
alamat premis terbabit, supaya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau
Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Maklumat juga boleh disalurkan terus dengan
menelefon 03-88833558 atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti
Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung minyak
masak terpakai di pasaran yang memetik Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa hampir 90 peratus minyak masak di
pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang sudah
digunakan.