Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
963) UTUSAN MALAYSIA 2/11/13-Rumah: Kerajaan perlu bertindak
05 Nov 2013

KUALA LUMPUR 1 Nov. –
Kerajaan perlu segera mewujudkan mekanisme bagi mengawal harga rumah yang
melambung tinggi ekoran tindakan sindiket profesional membabitkan spekulator
dan pemaju bagi mengelak rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan
sederhana terus gagal memiliki rumah sendiri.
Presiden Lembaga
Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang
Yahya berkata, trend harga rumah yang terlalu mahal terutama di Lembah Klang
menyebabkan rakyat pertengahan yang merupakan golongan majoriti turut tidak
berpeluang memiliki rumah.
Situasi itu, menurut
beliau, menyebabkan negara mempunyai banyak rumah kosong yang dibina pemaju
untuk memenuhi permintaan pelabur asing dan spekulator, bukannya untuk rakyat.
“Ramai dalam
kalangan pelabur dan spekulator memiliki dua buah rumah atau lebih sama ada
untuk disewakan atau untuk mengaut keuntungan apabila dijual semula,”
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas
pendedahan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad
berhubung kenaikan harga rumah hingga ke tahap tidak masuk akal khususnya di
Lembah Klang yang dipercayai didalangi sindiket profesional.
Menurut Wan Khairil
Anuar, sindiket itu membabitkan kumpulan spekulator dan syarikat perumahan
sendiri yang mengaut keuntungan atas angin melalui jualan unit yang telah
ditempah lebih awal kepada pembeli baharu dengan harga lebih tinggi.
Tambah Saharuddin,
dasar penetapan harga itu perlu segera dikaji dan dibincangkan antara Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama pemaju bagi
mencari jalan penyelesaian dalam membantu rakyat memiliki aset jangka masa
panjang sendiri.
“Penetapan harga
baharu itu juga perlu mengambil kira segala bebanan dan kos pembelanjaan sara
hidup rakyat. Dengan nilai harga rumah sekarang, golongan yang berpendapatan
RM5,000 sebulan juga tidak mampu memiliki aset sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata,
harga rumah yang melambung turut berpunca daripada tindakan pemaju yang
mendakwa unit rumah khususnya untuk bumiputera sudah habis dijual.
Sedangkan, kata
beliau, unit-unit itu disimpan untuk dijual dengan harga terbuka yang lebih
tinggi meskipun sebelum itu mendapat permintaan daripada kaum bumiputera.
Menurutnya, tindakan
tidak wajar itu merupakan sabotaj kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf
ekonomi kaum bumiputera.
“Tindakan ini
bukan sahaja menunjukkan sikap rasis pemaju terhadap usaha membangunkan ekonomi
orang Melayu, malah kerajaan dan rakyat turut ditipu dari segi polisi,”
katanya.
Dalam pada itu,
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berharap
pihak kerajaan dapat segera menyelesaikan masalah tersebut untuk memberi ruang
kepada golongan muda yang sudah bekerja memiliki rumah sendiri.
Menurut beliau,
golongan belia yang tinggal di kawasan bandar merupakan antara yang paling
terkesan dan terhimpit dengan kenaikan harga rumah yang semakin tidak terkawal
ketika ini.
“Trend
kebanyakan pemaju yang bukan sahaja membina rumah tetapi bandar baharu yang
menyebabkan harga rumah terus melambung. Dalam situasi ini, hanya kerajaan yang
dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat antaranya seperti
menurunkan harga proses guaman serta duti setem,” katanya.
Bagi Presiden
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George pula,
kawalan harga rumah di kawasan yang telah lama dibangun dilihat sukar dilaksana
namun kerajaan dapat memperketatkan kawalan bagi projek-projek perumahan
baharu.
“Pemaju yang
mendapat bantuan dari sudut harga tanah yang murah daripada kerajaan perlu
menetapkan harga pada kadar berpatutan sejajar dengan kos yang dikeluarkan dan
pembeli pertama harus diberi keutamaan,” katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131102/dn_01/Rumah:-Kerajaan-perlu-bertindak#ixzz2jn0SBTB7 © Utusan Melayu (M)
Bhd