965) Bisik-Bisik Mingguan 3/11/13-GLC dan iklan
05 Nov 2013
Bisik-Bisik Mingguan
GESAAN seorang pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor
Madya Mohamad Md. Yusoff agar diwujudkan Dasar Pengiklanan Negara (DPN),
menarik perhatian.
Antara matlamat DPN adalah bagi mengawal industri iklan, menangani
lambakan iklan asing dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.
Mohamad turut membangkitkan sikap banyak syarikat milik kerajaan (GLC)
yang tidak lagi memberi keutamaan kepada akhbar berbahasa Melayu.
Tidak silap Awang bukan kali pertama Mohamad membuat gesaan itu tetapi
setakat ini tiada respons daripada mana-mana pihak.
Berdasarkan kajian terbaharu AmResearch, perbelanjaan pengiklanan
(adex) untuk akhbar berbahasa Melayu merosot 1.8 peratus sehingga September
lalu, walaupun adex industri mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus.
Menurut RHB Research pula, bagi September sahaja, adex akhbar
berbahasa Melayu jatuh 26 peratus kepada RM116 juta berbanding RM154 juta untuk
tempoh sama tahun lalu.
Ini berbeza dengan akhbar Cina dan Inggeris yang masing-masing
meningkat 8.9 peratus dan 7.2 peratus.
Awang sendiri resah memikirkan masa depan Bahasa Kebangsaan dalam
industri pengiklanan termasuk melalui media massa.
Apatah lagi apabila menyentuh sikap GLC yang tidak lagi mengutamakan
iklan kepada akhbar berbahasa Melayu.
Ramai peneraju GLC seperti sudah hilang jati diri dan lupa hakikat
kewujudan GLC itu sendiri. Mereka menyerahkan penentuan iklan misalnya kepada
pihak industri terutama agensi yang banyak dikawal oleh ekspatriat, golongan
rasis dan liberal yang tidak bertunjangkan perlembagaan.
Alasan yang selalu diberi oleh pihak industri adalah atas pertimbangan
komersial semata-mata, yang sebenarnya terdedah kepada manipulasi.
Persoalannya, bagaimana kita mahu menyandarkan masa depan kedaulatan
Bahasa Kebangsaan kepada ekspatriat dan golongan tersebut?
Dalam satu sesi perbincangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
turut mempersoalkan beberapa bank dan syarikat telekomunikasi di bawah GLC yang
yang kurang mengiklan dalam akhbar Bahasa Kebangsaan.
Antara nama yang disentuh adalah Celcom, CIMB dan Petronas. CIMB
misalnya, walaupun majoriti pengguna adalah Melayu tetapi lebih ghairah
mengiklan untuk akhbar Inggeris dan bahasa ibunda.
Awang pun sudah hilang rasa setia menjadi pelanggan Celcom. Pilihan
terbentang luas. Untuk apa lagi menyokong GLC yang lesu agenda mendaulatkan
bahasa dan pemerkasaan ekonomi bumiputera.
PPIM turut membuat rumusan yang lebih mengganggu fikiran. Sebahagian
GLC menurut pengamatan NGO itu, memberikan lebih banyak iklan kepada media yang
menentang kerajaan semasa PRU-13, mempersoalkan perlembagaan dan bersikap rasis
terhadap kepimpinan Melayu.
Media berkenaan yang ghairah membawa
aspirasi dan agenda pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan, terus diberi
ganjaran lumayan menerusi iklan oleh GLC.
Perolehan iklan yang banyak itu akan
terus digunakan sebagai senjata untuk menggugat dan melemahkan kerajaan, demikian kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan.
Awang setuju dengan Nadzim. Mesejnya, GLC telah memperkasakan pihak
yang salah kerana membenarkan diri terperangkap dalam putaran ganas yang
dicaturkan oleh industri iklan.
Ternyata kita tidak mengambil pengajaran.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131103/re_04/GLC-dan-iklan#ixzz2jn3kpx1n© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 163