999) BERNAMA 24/11/13-Kementerian Tubuh Pasukan Petugas Khas
26 Nov 2013
Soalan Bocor: Kementerian Tubuh Pasukan Petugas
Khas
KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) — Kementerian
Pendidikan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan berlaku
kebocoran soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan kertas
Matematik dan Matematik Tambahan.
Ketua Pengarahnya Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud
berkata walaupun pada dasarnya sukar untuk berlaku kebocoran, pihaknya tetap
mengambil serius dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tersebut.
Ini kerana katanya kertas soalan SPM dicetak di
Universiti Cambridge, United Kingdom dan prosedur penghantarannya dari
universiti itu hingga ke pusat peperiksaan di negara ini adalah ketat termasuk
pengawalan oleh pihak polis.
“Jadi, kalau hendak dikatakan masa pencetakan
itu bocor (mustahil) dan perkara sebegini sudah lama tidak berlaku dengan
paling terakhir adalah pada akhir tahun 90an dan apabila disiasat tiada
kebocoran sebenarnya,” katanya dalam sidang media, di sini Sabtu.
Abdul Ghafar berkata pihaknya bagaimanapun tidak
menafikan dakwaan PPIM dan akan menyiasat kes itu secara terperinci.
Beliau yang ditemui selepas sesi perjumpaan Program
Jurulatih Peningkatan Sekolah (SISC) dan Program Rakan Pembimbing Sekolah
(SiPartner), diminta mengulas mengenai laporan media semalam yang memetik PPIM
sebagai mendakwa mereka menerima aduan daripada tiga individu berhubung perkara
tersebut.
Individu berkenaan yang turut hadir dalam sidang
media PPIM itu juga menyerahkan salinan yang dikatakan kertas soalan bocor
kepada pemberita.
— BERNAMA
Post Views: 169