2531) BERNAMA – 23/03/2015 – Laksana CBP Lebih Awal, Peniaga Berdepan Denda RM30,000 Dan Penjara
27 Mar 2015
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) masih belum dilaksana, namun menurut beberapa persatuan pengguna mereka menerima sekurang-kurangnya 10 aduan mengenai peniaga mengenakan CBP terhadap barangan mereka dalam tempoh Januari hingga sekarang.
Menurut mereka aduan membabitkan peniaga di Lembah Klang yang seolah-olah tidak tahu bahawa perbuatan itu mengundang tindakan undang-undang iaitu denda RM30,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan mengikut Akta CBP 2014 kerana menguat kuasa CBP sebelum 1 April ini.
“Kes seumpama ini sepatutnya tidak berlaku kerana merosakkan inisiatif yang bakal dilaksana kerajaan. Pengusaha tidak sepatutnya menjadikan CBP sebagai alasan untuk meningkatkan harga sesuka hati,” kata Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mustaffa Hamzah kepada Bernama, di sini Isnin.
Katanya kesemua aduan yang diterima PPIM sudah dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.
Susulan itu juga beliau meminta pengguna menjadi sebahagian pemangkin kepada keberkesanan pelaksanaan CBP dengan melaporkan sebarang penyelewengan oleh peniaga kepada persatuan pengguna.
CBP yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April ini pada kadar enam peratus bakal menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
Sistem cukai baharu ini yang merupakan sebahagian usaha pengukuhan fiskal kerajaan menuntut perniagaan berpendapatan tahunan RM500,000 ke atas mendaftar CBP dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Prof Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata pemantauan pihaknya mendapati ada perniagaan yang mengenakan CBP tersebut tidak layak berbuat demikian kerana berpendapatan tahunan kurang daripada RM500,000.
Ini juga satu bentuk penyelewengan yang harus diawasi oleh pengguna, katanya.
Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Siti Rahayu Zakaria pula mengingatkan pengguna supaya meneliti resit dan bil yang diterima selepas pembayaran bagi mengelak daripada ditipu oleh peniaga yang tidak berhemah.
Setiap perniagaan yang mendaftar CBP dengan JKDM akan menerima sijil dan mereka perlu mempamerkan sijil itu di premis perniagaan sebagai panduan pengguna, katanya.
“Ini sebagai panduan. Bukan itu sahaja, sebanyak dua juta naskhah Buku Panduan Harga Pengguna melibatkan 500 jenis barangan selepas sistem CBP dilaksanakan telah diedar sejak awal Februari di seluruh negara,” katanya.
Pengguna juga boleh memuat turun buku panduan itu menerusi laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di www.kpdnkk.gov.my.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad menegaskan pihaknya akan memantau kedai atau premis perkhidmatan yang didapati mengenakan CBP lebih awal daripada tarikh penguatkuasaan.
Perniagaan yang tidak layak mengutip CBP juga bakal berdepan tindakan undang-undang menurut Akta CBP 2014 jika mereka didapati berbuat demikian, katanya.
— BERNAMA
Post Views: 141