Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2525) UTUSAN – 23/03/2015 – NGO Sambut Baik Arahan Kabinet
27 Mar 2015

KUALA LUMPUR 22 Mac – Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik arahan Kabinet supaya kadar tambang baharu pengangkutan awam ditangguhkan kerana harga minyak sudah turun berbanding dahulu. 
Timbalan Presidennya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, arahan tersebut dibuat kerana kadar kenaikan tambang yang dibuat agak tinggi dan dilakukan secara drastik sehingga membebankan pengguna lebih-lebih lagi menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April ini.
“Pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) wajar menyemak semula kenaikan tambang dengan lebih teliti supaya tidak memberikan kesan kepada pengguna dan dalam masa yang sama mencari jalan penyelesaian untuk membantu pengusaha-pengusaha teksi dan bas.
“Sebelum membuat pengumuman itu, SPAD sepatutnya terlebih dahulu berbincang dengan semua pihak yang terlibat mengenai kadar yang hendak ditetapkan agar keputusan itu dapat diterima semua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mem­beritahu, Kabinet bersetuju untuk menangguhkan kadar tambang baharu pengangkutan awam yang diumumkan SPAD pada Khamis lalu kerana kenaikan itu menyusahkan rakyat yang kini sedia terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, kerajaan juga dilihat peka dengan apa yang berlaku sehingga membuat keputusan menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam.
“Walaupun begitu, pengusaha juga berhadapan dengan bebanan kerana memang ada keperluan untuk menaikkan harga tambang, tetapi bukan dalam kadar yang sangat tinggi hingga mencecah lebih 20 peratus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak menyokong kenaikan tambang walaupun mengakui ada keperluan untuk berbuat demikian setelah lapan tahun berada pada kadar yang sama. Menurutnya, Kabinet perlu mewujudkan satu kaedah kenaikan kadar tambang.
“Pelbagai mekanisme perlu diwujudkan supaya pemandu dapat meningkatkan pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan mereka misalnya mendapat pengecualian bayaran minyak.
“Secara tidak langsung, pengusaha teksi dan bas serta pengguna tidak akan terasa impaknya, tetapi dalam masa yang sama pengusaha dapat memperbaiki mutu perkhidmatan sejajar dengan keistimewaan yang diberikan itu,” katanya.