KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) bersama 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan
supaya orang ramai memboikot semua jenis air mineral 500 mililiter (ml)
yang melebihi harga RM1.00.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata menerusi Jawatankuasa
Consumer Research Boycott Centre, usaha boikot itu disaran bagi tempoh
tiga bulan bermula Khamis dan kajian mengenainya akan dijalankan.
“Kita memilih air mineral sebagai permulaan kepada kajian kami
memandangkan harganya yang tidak munasabah di pasaran terutama di premis
makanan. Ada yang menjual sehingga RM3.50 berbanding kebiasaan RM1.00.
“Harga tersebut lebih mahal daripada harga minyak petrol terbaharu.
Harga kos bagi 500ml air mineral lebih kurang RM0.50 dan selepas
mengambil kira keuntungan sebanyak 70 peratus, ia sepatutnya dijual pada
kadar tidak melebihi RM1.00 sahaja,” katanya pada sidang media kempen
boikot air mineral oleh Jawatankuasa Consumer Research Boycott Centre di
sini, Khamis.
Nadzim juga berkata, masalah harga barang yang tidak turun bukan seratus
peratus disebabkan oleh peniaga tetapi pengguna sendiri yang tidak
mengambil peduli serta kurang sensitif akan harga barang di pasaran.
“Pengguna agak terleka dan tidak ambil tahu dengan harga air mineral
yang tidak munasabah. Hanya tahu menyalahkan harga minyak petrol naik
sahaja tetapi benda kecil seperti air mineral tersebut tidak pula
diambil kira.
“Pengguna harus mendidik diri supaya peka akan harga barang di pasaran
dan mengambil bil setiap kali membayar sesuatu barang sama ada di kedai
atau di restoran seterusnya membuat perbandingan harga,” katanya.
Nadzim berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya pengguna
menunjukkan hak dengan memilih barangan yang lebih murah tanpa perlu
menunggu harga kawalan daripada kerajaan.
“Pengguna harus tunjukkan hak serta menentapkan harga permintaan. Kalau
harga air mineral lebih daripada RM1.00, tak payahlah beli. Sebelum
kerajaan meletakkan harga kawalan, kita sendiri boleh boikot jika harga
barang tersebut tidak turun.
“Kita juga ada minta kerajaan mengadakan harga siling yang dimulakan dengan air mineral ini,” katanya
Sumber : http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/02/05/boikot-air-mineral/