2436) FREE MALAYSIA TODAY – 22/01/2015 – Ramai Rakyat Ditipu
23 Jan 2015
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini melancarkan bersama “Kempen Perangi Penipu Pengguna”.
Menurut, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai perihal mereka ditipu, oleh itu sudah tiba masanya untuk ‘menyerang’ para penipu tersebut.
Katanya, perkembangan tidak sihat yang berlaku di luar sana telah mendatangkan kesusahan kepada rakyat khasnya.
“Kita telah terima banyak aduan dan penipu-penipu di luar sana suka menipu pegawai kerajaan dan rakyat Malaysia.
“Maka sudah sampai masanya buat kempen dengan ahli CUEPACS yang ramai untuk kita hantar ‘signal’ yang jelas, kita tidak mahu lagi ditipu,” katanya, dalam satu sidang media “Tahun 2015: Tahun Perangi Penipu” di Kuala Lumpur.
Tambah beliau, PPIM juga telah mengadakan perbincangan dengan Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda, untuk melancarkan pengisytiharan tahun 2015 sebagai tahun perangi penipuan.
Jelasnya ‘penipu’ tersebut adalah merujuk kepada peniaga, pemberi pinjaman, syarikat pelaburan, kontraktor perumahan, syarikat MLM dan banyak lagi yang cuba untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna.
Menurutnya, kebanyakan aduan yang terima olehnya adalah daripada pegawai kerajaan.
“Pegawai kerajaan mudah ditipu kerana mereka mudah dapat pinjaman ada gaji RM2,000 dapat pinjaman sampai RM200,000.
“Kita amat prihatin , dia tipu semua orang, tetapi tentang pegawai kerajaan ini, penipu mudah dapat sasarkan mereka kerana mereka mudah buat pinjaman… jadi tahun ini kita akan perangi mereka,” katanya.
Post Views: 137