KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta agar pihak yang berwajib mengeluarkan satu panduan lengkap bagi tujuan pelupusan naskah-naskah Al-Quran dan buku agama yang telah rosak akibat bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan tersebut, mereka meminta kerjasama daripada pihak berkuasa antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau Daerah agar menghebahkan semula prosedur yang boleh digunapakai oleh orang awam.
Prosedur tersebut adalah berkenaan dengan pelaksanaan garis panduan pelupusan naskah Al-Quran dan buku-buku agama dengan cara yang betul.
Perkara ini perlu dilaksanakan berikutan dalam misi bantuan banjir yang dilakukan oleh sukarelawan persatuan tersebut di beberapa kawasan yang terlibat banjir baru-baru ini telah menemui sejumlah besar naskah Al-Quran yang telah musnah akibat diselaputi lumpur dan tidak boleh digunakan lagi.
PPIM juga mencadangkan supaya naskah Al-Quran dan buku-buku agama yang rosak itu dapat dikumpulkan seterusnya dihantar ke masjid atau surau berhampiran agar ianya dapat dilupuskan mengikut tatacara yang betul oleh pihak yang berwajib.
Persatuan itu juga berharap agar orang ramai mematuhi adab-adab umum di dalam menguruskan kitab suci itu seperti yang disyariatkan oleh agama Islam.