2282) THE RAKYAT POST – 24/12/2014 – Jabatan Insolvensi Gagal Berperanan ‘Caretaker’ Si Muflis
25 Dec 2014
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (tengah) bersama Pegawai Kerja PPIM yang juga Setiausaha Sekretariat Bebas Muflis, Mohd Mustaffa Hamzah (kanan) dan Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied (kiri) ketika menjawab pertanyaan di sidang media berkenaan kegagalan peranan Jabatan Insolvensi, di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, 23 Disember:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa Jabatan Insolvensi gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan memainkan peranan untuk menguruskan hal-hal muflis yang melibatkan rakyat Malaysia.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata jabatan itu harus berperanan sebagai ‘caretaker‘ (penjaga) dan bukanlah sebagai pengutip hutang.
Malah katanya, jabatan tersebut harus disemak semula sistem pentadbiran dan pengurusan oleh kerajaan agar menjadi mesra rakyat.
“Sepatutnya mereka ini mesra rakyat, jadi ‘caretaker’ dan bukan ‘money collector’. Jadi saya rasa yang terbaik buat masa ini mungkin adalah dengan mengubah jabatan tersebut kepada Suruhanjaya Insolvensi supaya ia lebih dinamik dan wujudkan juga standard ISO.
“Sebab mereka ini tadbir tidak (buat), yang tahu nak kutip duit sahaja, saya cakap begini sebab saya pernah lalui dan saya tahu bagaimana azabnya berurusan dengan Jabatan Insolvensi,” katanya di dalam sidang media di sini, hari ini.
Nadzim berkata, keadaan ini adalah satu perkara yang sangat kritikal dan banyak kelompongan dan kelemahan di dalam sistem pentadbiran jabatan tersebut.
Jelasnya, jabatan ini harus bergerak sebagai satu institusi pemulihan dan bukanlah sebagai institusi yang menghukum dan menyusahkan mereka yang diisytiharkan bankrap.
“Kita memerlukan satu penubuhan suruhanjaya yang dipantau badan bebas dan diuruskan dengan lebih ketat serta mesti ada sijil ISO.
“Ini sangat kritikal, jabatan ini perlu melaksanakan sistem yang lebih telus,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Nadzim juga meminta pihak yang berkuasa untuk menyemak semula Akta Kebankrapan 1967 yang tidak pernah dipinda dan disesuaikan dengan keadaan masa kini.
Malah menurutnya, akta lapuk ini tidak pernah dipinda sejak penubuhannya sehingga mengakibatkan kesulitan kepada mereka yang disenaraikan bankrap.
“Akta ini penting sebab ada banyak kes yang tidak munasabah dan ini melibatkan penganiayaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita tak nak hidup di dalam undang-undang lapuk, jadi kita minta untuk lihat semula perkara ini secara serius,” ujarnya.
Sementera itu, Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangannya, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied menjelaskan sekitar 200 aduan diterima setiap hari daripada mereka yang muflis dan hampir 80 peratus daripada mereka tidak menerima sebarang dokumen daripada Jabatan Insolvensi.
Malah tambahnya, si muflis juga turut dikenakan bayaran sebanyak 13% daripada jumlah hutang sebagai bayaran perkhidmatan walaupun berdepan dengan kesulitan untuk berdepan dengan jabatan berkenaan.
“Si muflis akan berhadapan juga dengan masalah untuk membayar hutang, sebagai contoh anda diisytihar muflis di Ipoh, dan anda berpindah dan bekerja di Kuala Lumpur. setiap bulan anda perlu ke Ipoh untuk buat bayaran.
“Ini tidak termasuk lagi dengan masalah mereka tidak tahu mereka bankrap kerana tidak terima sebarang dokumen, mereka ini tahu bila nak keluar negara dan disekat sahaja.
“Bila pergi ke Jabatan Insolvensi dan nak minta dokumen, cukup payah,” katanya di dalam sidang media yang sama.
Post Views: 177