Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2231) UTUSAN MALAYSIA 18/11/2014 – Wujudkan Portal Khas Elak Manipulasi Harga Barang
18 Nov 2014

Nadzim Johan
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan supaya satu portal pengguna diwujudkan bagi membantu usaha membanteras aktiviti memanipulasi harga barangan oleh peniaga. 
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, portal tersebut merupakan kaedah penyelesaian jangka panjang dalam memperkasakan pengguna daripada terus ditipu oleh peniaga tidak bertanggungjawab.
Katanya, sudah tiba masanya pengguna menggunakan kuasa mereka sebagai pembeli dengan mengelakkan daripada membeli barangan dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding harga asal.
“Kewujudan portal pengguna yang padat dengan pelbagai informasi mengenai harga barang di pasaran akan membantu dan mendidik pengguna untuk menilai harga sesuatu barangan sebelum melakukan pembelian.
“Melalui portal tersebut, pengguna boleh berkongsi maklumat mengenai harga semasa pelbagai barangan. Dengan cara ini mungkin dapat menakutkan peniaga daripada menaikkan harga barang sesuka hati,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan mengenai pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bahawa tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati.
Tindakan tersebut diambil bagi memastikan golongan tersebut tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan cukai ba­rangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada April tahun depan.
Menurut Nadzim, penguatkuasaan tegas KPDNKK untuk membawa peniaga yang memanipulasi harga barang ke mahkamah adalah satu langkah baik namun tindakan hanya boleh diambil kepada barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Negara kita mengamalkan dasar perdagangan bebas dan hal ini menyukarkan kerajaan untuk mengawal harga barangan. Oleh itu, hanya didikan terhadap pengguna merupakan jalan penyelesaian kepada aktiviti memanipulasikan harga barang,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu tribunal khas bagi mendakwa peniaga yang cuba memanipulasikan pelaksanaan GST dengan menaikkan harga barang sesuka hati.
Katanya, pendakwaan menerusi tribunal adalah jalan penyelesaian lebih cepat dan berkesan berbanding tindakan menghadapkan peniaga ke mahkamah.
“Tribunal yang diwujudkan akan membantu pengguna menuntut hak mereka tanpa perlu melalui beberapa prosiding di mahkamah yang memakan masa lama,” katanya.