2164) ISMAWEB 21/10/2014 – NGO-NGO Islam Menunggu Tindakan Segera KPN
22 Oct 2014
BANGI, 20 Oktober – Pimpinan-pimpinan NGO Islam menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengambil tindakan segera berhubung laporan polis yang dibuat oleh Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) semalam ke atas seorang ahli Gerakan Batu Pahat Johor, Tan Lai Soon kerana mengeluarkan kenyataan menghasut.
Setiausaha Biro Politik Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman mahu kes ini ditangani dengan segera.
Katanya, semua mata rakyat Malaysia sedang memerhatikan ke arah Ketua Polis Negara dan menunggu tindakan yang diambil.
“Jelas dan terbukti kenyataan Tan itu mengandungi unsur hasutan dan laporan polis telah dibuat. Maka Tan Sri Khalid harus laksanakan tanggungjawabnya sebagai KPN,” kata beliau ketika dihubungi.
Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ustaz Ismail Mina Ahmad berkata, Ketua Polis Negara perlu bertindak segera dengan laporan yang dibuat.
“Tidak perlu tunggu laporan yang lain. Laporan daripada PEMBELA sudah cukup untuk beliau bertindak dan membuat siasatan. Ini kerana tuduhan Tan kepada Melayu itu cukup berat dan bersifat huru-hara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan juga meminta agar tindakan ke atas Tan Lai Soon perlu disegerakan.
“Ketua Polis Negara perlu bertindak dengan cepat. Kes seperti ini perlu ditangani secara serius apatah lagi kenyataan Tan itu berniat jahat. Mengatakan Melayu adalah pendatang adalah penipuan dalam sejarah,” tegasnya.
Manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali menyatakan bahawa kata-kata Tan itu sebenarnya adalah antara cubaan pihak tertentu yang mahu bercakap apa sahaja bagi merealisasikan pemansuhan akta hasutan.
“Mereka mula berlatih sekarang ini. Jadi matlamat Perdana Menteri untuk membiasakan rakyat untuk menerima kenyataan sensitif selepas ini akan terlaksana,” katanya.
Tambah beliau, jika sebelum ini lambat tindakan yang diambil ke atas pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan sensitif kerana tekanan politik, tetapi kali ini Ketua Polis Negara harus bertindak segera kerana tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi.
Semalam PEMBELA yang mewakili 82 pertubuhan Islam utama dan arus perdana membuat laporan polis ke atas ahli Gerakan Batu Pahat Johor, Tan Lai Soon kerana mengeluarkan kenyataan biadap dan menghasut apabila mengatakan Melayu juga adalah pendatang di negara ini.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 10 pagi.
Post Views: 245