Johor Bahru: Pinjaman yang hanya bermula dengan RM10,000 daripada seorang lelaki yang tidak pernah dikenalinya akibat terdesak akhirnya meletakkan bekas pembantu pengurus bank di negeri ini dalam keadaan tersepit dan tertekan.
Mana tidaknya, bukan sahaja kejadian yang berlaku pada 2014 itu mendatangkan masalah hingga ke hari ini, malah rumah miliknya hampir terlepas daripada tangannya.
Semuanya berlaku apabila sinidiket pinjaman wang haram along ini semakin hebat dan pintar menyusun strategi dalam ‘menyeksa’ mangsa terdiri daripada peminjam mereka termasuk wanita ini.
Dikenali sebagai Hasanah yang berusia 50 tahun dan gemar membantu orang dalam kesusahan ketika berkhidmat di institusi kewangan, wanita terbabit menyedari tersilap langkah apabila terpaksa meminjam wang daripada ceti haram selepas mendahulukan wang pihak lain bagi membantu seorang pelanggannya.
“Ketika saya amat memerlukan wang, datang seorang lelaki tanpa diundang. Dia menawarkan saya khidmatnya bagi membantu saya menyelesaikan masalah membayar semula wang pihak lain yang digunakan.
“Dalam keadaan terdesak, saya meminta pinjaman RM10,000 dengan ansuran bulanan RM1,000, namun selepas tujuh hingga lapan bulan, pihak along menukar syarat pulangan balik pinjaman kepada bayaran mingguan RM1,000,” katanya.
Mengulas lanjut, tidak mungkin dia dapat memenuhi permintaan terbabit dan membayar RM1,000 setiap minggu.
“Ketika inilah, tiba-tiba antara lima hingga enam individu menghubungi saya dan menawarkan lagi pinjaman bagi membantu melunaskan hutang along, hinggalah akhirnya jumlah keseluruhan hutang saya mencecah RM30,000,” katanya.
Kerana hutangnya semakin bertambah, pihak along kemudian mencadangkan untuk memberikan Hasanah pinjaman RM100,000 bagi melunaskan keseluruhan hutang yang ada dengan syarat pinjaman itu diikat dengan perjanjian jual beli sebuah rumahnya yang ketika itu berharga lebih RM500,000.
Hasanah dipaksa menurunkan tandatangan suaminya atas desakan along memandangkan rumahnya itu hak milik bersama suami, sebelum seorang peguam mengesahkan tandatangan berkenaan walaupun tanpa pengetahuan suaminya.
Menurut Hasanah, selepas memasukkan RM100,000 ke akaunnya, along mengambil semula RM68,000 dakwanya untuk membayar baki hutang yang ada.
“Terkejut saya apabila duit itu dimasukkan pada pagi, tetapi petang mereka ambil RM68,000 sedangkan saya rasa hutang saya tidak sampai sebegitu banyak.
“Mereka pula ambil lagi RM24,000 sebagai tiga bulan bayaran pendahuluan rumah saya. Tetapi, lain pula jadinya apabila tiga hari kemudian rumah saya dikaveat dan diberitahu ia sudah dijual kepada seorang wanita dikenali sebagai Murni,” katanya.
Dua minggu kemudian, dia mendakwa along meminta peguam kepada Murni menghantar surat ke sebuah bank untuk memohon penyata penyelesaian baki rumah selain along meminta Murni mengkaveat rumahnya.
Hasanah yang tidak senang dengan perkara itu kemudian membuat laporan polis dan memberitahu bank bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menjelaskan hutang rumahnya tanpa arahannya sendiri.
“Apabila peguam Murni mendapat tahu rumah berkenaan tidak boleh ditebus, ia mendatangkan kemarahan along berkenaan,” katanya.
Tindakan saman di mahkamah kemudian dibuat pada September 2015 oleh along berkenaan sehingga membawa kepada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, pada April 2016.
Perbicaraan berlanjutan sehingga 14 November 2016. Akhirnya peguam yang mewakili Hasanah memberitahu, peguam plaintif (along) ingin berbincang untuk menyelesaikan kes itu secara baik.
Hasanah ditawarkan untuk menerima RM50,000 dan melepaskan rumah berkenaan yang ketika itu bernilai hampir RM700,000, selain peguam yang mewakilinya kemudian dilihat sudah semakin memihak kepada pihak plaintif (along dan Murni).
Sehingga kini, kes berkenaan masih berlarutan menyebabkan Hasanah terpaksa membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi membantu menamatkan segala kekusutan yang dialaminya.
PPIM yang membuat risikan dan siasatan kemudian mengesan kes dialami mangsa itu bertambah rumit apabila pihak along menggunakan taktik baru yang agak ‘pintar’ sehingga mangsa tersepit.
Akhirnya, perkara itu terbongkar apabila Hasanah mendapat tahu Murni sebenarnya juga pernah meminjam wang daripada along berkenaan dan dia yang tidak berkemampuan hanya dipaksa sebagai pembeli rumah berkemungkinan untuk menyelesaikan hutangnya yang difahamkan RM3,000 terhadap along terbabit.
Unit Tindakan Khas PPIM diketuai pengarahnya, Yusuf Azmi bertemu Murni bagi membantu dirinya yang dilihat juga mungkin terpaksa menjadi proksi kepada along berkenaan.
Bagaimanapun, usaha PPIM seperti sia-sia apabila Murni yang disyaki ‘takut’ dengan along berdolak-dalik menjawab segala pertanyaan diajukan dan tidak mengaku pernah membuat pinjaman along.
“Saya tidak pernah meminjam along. Rumah itu memang saya nak beli dan sudah bayar RM100,000. Itu duit simpanan saya sejak dahulu ketika bekerja menjual barangan terpakai di Singapura dan kini menjual nasi secara kecil-kecilan pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Pandan, di sini.
Bagaimanpun, gerak-geri Murni mencurigakan, apatah lagi dia tidak mempunyai sebarang bukti bertulis untuk dikemukakan yang boleh menguatkan lagi perkara diberitahu termasuk resit pembayaran deposit pembelian rumah dan laporan polis mendakwa bank tidak dapat mengeluarkan geran kepadanya.
Menganggap Murni tidak bercakap benar, Yusuf berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan dan PPIM sudah berjumpa dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor bagi membincangkan kes berkenaan.