Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
5,000 Pusat Judi Bersepah – Harian Metro – 14/2/2017
14 Feb 2017

harian metro 14.2.2017

Terdapat lebih 5,000 pusat judi siber di seluruh lembah Klang dan Selangor yang kini menjadi ancaman sosial kepada golongan remaja Islam.

Perkara itu didedahkan Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Ali Salimin yang bimbang gejala itu terus membiak dan menjadi tidak terkawal.

Menurutnya, kebanyakan permis judi siber terutamanya di Lembah Klang seolah-olah tidak gerun pada tindakan undang-undang dan masih terus beroperasi.

“Sebagai contoh di daerah Ampang Jaya, Selangor, terdapat lebih 100 pusat judi dan kami menganggarkan jumlah keseluruhan pusat judi di Selangor melebihi jumlah yang terdapat di Kuala Lumpur.

“Apa yang pasti pusat judi yang terdapat di Lembah Klang ini masih berselindung disebalik perniagaan lain seperti kefe siber, restoran dan pusat hiburan keluarga bagi mengaburi mata masyarakat” katanya.

Sementara itu, Pengurusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahaya mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan tegas menghapuskan pusat perjudian siber haram yang dilihat semakin tidak terkawal khususnya di Lembah Klang. Menurutnya, terdapat sesetengah pihak mengambil tindakan menyekat usaha yang dilakukan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyekat kegiatan judi itu.

“Pembela kecewa tindakan pilih kasih sesetengah pihak walaupun pendedahan demi pendedahan dibuatdalam usaha membenteras kegiatan judi. Ia seolah-olah tidak memberi kesan.

“Kami turut mendesak KDN mengambil tindakan terhadap pihak yang menghalang usaha menghapuskan kedai judi sepertimana ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada tahun 2015. Beliau pernah memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai, anggota polis atau individu yang memberi perlindungan kepada rumah judi,”katanya.

Aminuddin berkata, Pembela juga mendesak KDN memastikan tidak ada ‘tangan-tangan’ menghalang siasatan seperti didedahkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa selain mencadangkan satu suruhanjaya khas ditubuhkan menyiasat perkara itu.

“Pembabitan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) juga perlu untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat elemen rasuah yang menjadi faktor penghalang usaha membanteras isu rumah judi haram” katanya.