KOTA BHARU: Isu memperlahankan azan di Masjid Aman Taman Kenangan diselesaikan secara aman apabila kedua-dua pihak tampil berbincang bagi memperbetulkan keadaan. Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Fared Abd Ghani, berkata daripada pertemuan antara ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung dengan ahli jawatankuasa masjid, didapati berlaku kekeliruan mengenai surat layang berkaitan isu berkenaan.
“Kita dapati surat berkenaan dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Sunny Ung dan cuba untuk mengeruhkan suasana harmoni di kawasan ini. “Dengan penjelasan oleh kedua-dua pihak ini, kita berharap tidak ada lagi sebarang usaha untuk mensabotaj dengan menimbulkan isu perkauman di negeri ini dan di negara ini amnya,” katanya dalam sidang media di masjid berkenaan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sunny berkata, walaupun isu berkenaan dilihat sebagai usaha untuk mensabotaj hubungannya dengan penduduk tempatan, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk membantu terutama anak yatim dikalangan umat Islam. Katanya, beliau melihat isu ini lebih kepada salah faham semata-mata dan berharap ianya tidak dipanjangkan lagi oleh mana-mana pihak.
“Selama ini pun kami hidup aman, harmoni dan tidak timbul isu mengenai bunyi azan yang menganggu penduduk di kawasan ini. “Begitu juga umat Islam tidak kisah apabila ada upacara di tokong berhampiran kawasan ini,” katanya. Sementara itu, Penolong Setiausaha masjid berkenaan, Zakaria Ibrahim berkata, bunyi azan masih dikekalkan pada tahap sediakala dan ia tidak mengganggu penduduk setempat.
“Bunyi azan tidak mengganggu penduduk tempatan termasuk masyarakat bukan Islam dan ramai penduduk beragama Islam di sini juga tinggal di kawasan penduduk Cina,” katanya.
Sebelum ini akhbar melaporkan penduduk di kawasan Taman Kenangan membantah apabila satu surat layang disebarkan yang meminta supaya bunyi azan diperlahankan kerana didakwa mengganggu ketenteraman penduduk bukan Islam terutama waktu Subuh.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/247667