2059) UTUSAN MALAYSIA 21/07/2014 – Bakar mercun bertentangan ajaran Islam -PPIM
21 Jul 2014
Bakar mercun bertentangan ajaran Islam
KOTA BHARU 20 Julai – Bermain mercun yang selama ini dianggap tradisi masyarakat Melayu setiap kali menyambut Aidilfitri merupakan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama Islam kerana boleh memudaratkan diri serta membazir wang.
Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad berkata, perbuatan tersebut yang dicedok daripada budaya masyarakat lain jelas terpesong daripada tujuan sebenar sambutan hari raya.
Tegasnya, mercun yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain menguatkan lagi alasan mengapa perbuatan itu ditegah oleh Islam.
“Sudahlah membahayakan diri dan insan lain, malah membazir wang pula. Aktiviti ini langsung tidak membawa manfaat kepada umat Islam.
“Lagipun di Malaysia, mercun sudah diwartakan sebagai bahan larangan oleh pemerintah dan dalam Islam, kita disuruh taat kepada pemerintah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) negeri, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir rakyat Kelantan yang membiarkan perbuatan membakar mercun di tempat masing-masing.
“Apa yang berlaku kepada mangsa-mangsa mercun sepatutnya dijadikan sebagai iktibar oleh semua pihak untuk menjauhi budaya membakar mercun. Ibu bapa pula perlu memantau gerak-geri anak masing-masing .
“Jika mahu membanteras aktiviti ini, saya nasihatkan anggota masyarakat saling ingat ingat-mengingati dan mengamalkan sikap peduli yang tinggi untuk sama-sama memantau kegiatan anak-anak,” katanya.
Tambah beliau, anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu pihak berkuasa dengan melaporkan segera sebarang aktiviti penjualan atau pembakaran mercun.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih berat kepada mereka yang mengedar dan menjual mercun di negeri ini,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140721/dn_25/Bakar-mercun-bertentangan-ajaran-Islam#ixzz384QHRdkJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Post Views: 158