KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati untuk terlibat dalam perniagaan atau pelaburan di Arab Saudi berikutan pelbagai penipuan telah dilaporkan.
Ketua Unit Pembangunan Sosialnya, Abd Halim Ikhsan berkata, menjalankan perniagaan atau pelaburan di negara itu bukanlah perkara mudah malah ramai pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan penipuan.
“Kes terbaharu yang kita terima adalah penipuan pajak hotel di Makkah di mana kita menerima 30 aduan sejak dua bulan lalu. Daripada jumlah itu, empat mangsa tampil hari ini (semalam) dengan kerugian sebanyak RM280,000.
“Kesemua mangsa mendakwa ditipu oleh seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang dikenali sebagai Syarifah yang kita percaya dia masih lagi aktif melakukan penipuan di dalam negara mahupun di Makkah,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, pihaknya difahamkan Syarifah telah melakukan penipuan tersebut sejak 2005 sehingga melibatkan kerugian sejumlah lebih RM14,000,000.
“Sejak 2005 kami difahamkan banyak laporan polis telah dibuat mengenainya tapi agak pelik apabila wanita ini masih mampu bergerak bebas dan mencari mangsa-mangsa baharu. Sekarang pun kita tidak tahu di mana wanita itu berada.
“Kami juga dimaklumkan bahawa pihak berkuasa di Makkah juga telah pun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Namun wanita itu berjaya melarikan diri kembali ke negara ini,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa, Kasiah Md Idris berkata, dirinya tidak menyangka menjadi mangsa penipuan memandangkan Syarifah adalah teman baiknya sendiri.
“Saya mula rapat dengannya sejak 2016 dan pertengahan tahun yang sama dia ada mempelawa saya untuk menjadi rakan kongsi perniagaan pajak hotel.
“Sebelum ini saya memang berhasrat untuk memiliki perniagaan di Mekah dan atas dasar percaya, saya bersetuju dan mengajak rakan lain untuk turut membuat pelaburan,” katanya.
Kasiah berkata, pelbagai tawaran dijanjikan oleh wanita itu untuk menarik mangsa membuat pelaburan.
“Sebagai pelabur, kami ditawarkan keuntungan tanpa riba sebanyak 70 peratus selepas enam bulan pelaburan dibuat. Namun sehingga hari ini kami tidak menerima sebarang berita mengenai pelaburan tersebut.
“Saya sendiri memang tidak terfikir akan ditipu memandangkan dia seorang yang selalu bercakap tentang agama. Saya amat berharap dia akan diambil tindakan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsanya,” katanya yang memberitahu telah membuat laporan sebanyak tiga kali di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam sejak Januari lalu.