Kementerian Luar menerima maklumat melalui sumber kedua bahawa beberapa rakyat Malaysia telah diganggu secara seksual oleh beberapa diplomat asing di negara ini.Bagaimanapun berkata, setakat ini tiada laporan dikemukakan kepada kementerian atau Jabatan Protokol yang mengendalikan hal ehwal perwakilan asing di Malaysia.
“Kementerian Luar memandang serius dakwaan gangguan seksual itu, terutamanya yang melibatkan kor diplomatik di Malaysia.
“Mana-mana individu yang menjadi mangsa jenayah oleh mereka yang dilindungi di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 perlu menggunakan mekanisme sedia ada untuk mengemukakan aduan kepada Kementerian Luar.
“Selain menghubungi talian telefon selepas waktu pejabat, individu berkenaan boleh menyalurkan aduan melalui emel webmaster@kln.gov.my,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kata kenyataan itu, Wisma Putra memberi menjamin, walaupun diplomat asing mempunyai kekebalan, masih terdapat jalan penyelesaian bagi memlihara kepentingan pengadu.
“Kementerian Luar akan menyusul tindakan ke atas tuduhan yang serius itu hingga dapat diselesaikan,” katanya.