Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
“DERA” 7 JAM – HARIAN METRO – 23/6/2017
23 Jun 2017

harian metro 23.6.2017Dikurung lebih tujuh jam, tidak diberi makan dan minum serta diherdik kerana duit yang diminta belum sampai.

Itu yang berlaku kepada eksekutif swasta yang mahu dikenali sebagai Wani selepas dijadikan ‘tebusan’ oleh ceti haram untuk mendapatkan bayaran tuntutan pinjaman.

Kejadian berlaku Ahad lalu ketika dia ditahan seorang lelaki di sebuah kawasan di Pandan Jaya yang memintanya berjumpa along berkaitan pembayaran pinjaman yang dibuatnya empat bulan lalu.

“Saya kena tahan di Pandan Jaya, dia datang dengan cara elok. Katanya saya kena ikut dia ke pejabat sebab majikannya nak jumpa.

“Sampai di Jalan Imbi, saya dibawa ke satu ruang pejabat, dikurung tanpa diberikan makanan dan dimakihamun.

“Along itu meminta saya membayar wang yang diminta,” katanya ketika membuat aduan kepada pegawai Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Ali Salimin.

Wani berkata, dia meminjam RM5,000 daripada along berkenaan selepas mengalami masalah kewangan dan membayar RM1,250 sebulan tanpa gagal.

Menurutnya, along terbabit juga memberikan syarat dia tidak boleh meminjam dengan ceti haram lain atau berdepan tindakan iaitu perlu melangsaikan semua hutangnya berserta kadar faedah.

“Sepanjang tempoh dikurung, along itu bertindak seolah-olah saya tidak pernah membayar hutang langsung, sedangkan kalau diikutkan, hutang RM5,000 itu sudah langsai, tetapi dia tuntut RM15,000.

“Dia juga ugut saya supaya jangan main-main dengan dia, jika tidak, dia akan buat sesuatu. Saya beritahu abang saya sedang menyediakan wang untuk bayaran tetapi saya dimaki hampir setiap jam sebelum dibebaskan tujuh jam kemudian,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Cheras.

Pengarah UTK PPIM Yusuf Azmi berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan awal kes berkenaan dan bertemu Wani untuk mendapatkan maklumat.

Katanya, ia adalah kes pertama membabitkan larangan along yang tidak membenarkan peminjam membuat pinjaman dengan ceti lain atau berdepan denda.

“Ini sudah dikira kes culik kerana mangsa dikurung lebih tujuh jam. Apapun, PPIM serahkan kepada pihak berwajib menjalankan siasatan dan berharap kes ini dapat diselesaikan,” katanya.