Kuala Lumpur 18 Ogos- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedia tampil menjadi pegawai tetap naziran di lokap-lokap polis ekoran dakwaan pelbagai pihak mengenai keadaan pusat tahanan yang kotor dan menjijikkan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, setiap individu yang ditahan di dalam lokap perlu diberi layanan mengikut piawaian ditetapkan dan mereka berhak mendapat keperluan asas.
“ Kita tidak harapkan layanan enam bintang, cukup sekadar layanan asas seperti ruang yang selesa untuk sembahyang, kapasiti bersesuaian dan keadaan persekitaran yang bersih,” katanya di dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mengadakan lawatan ke sebuah lokap mendedahkan pusat tahanan itu berada dalam keadaan yang menyedihkan”.
Suhakam juga mendapati ia mengancam kesihatan terhadap tahanan kerana terlalu kotor selain tidak diberikan air dan makanan yang mencukupi.
Nadzim berkata PPIM tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak tetapi mahu kerajaan sedar bahawa mereka yang ditahan bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Sementara, Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antara Bangsa Malaysia, Hishamuddin Hashim berkata, individu yang ditahan di dalam lokap tidak seharusnya diberi penyeksaan ‘mental’ seperti isu kebersihan.
“Sesungguhnya, kita kena tegas dengan undang-undang tetapi ini tidak semestinya kita kena hilang nilai kemanusiaan” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi yang pernah ditahan di Balai Polis Dang Wangi berkata, sepanjang berada di bawah tahanan, dia terpaksa ‘berpuasa’ ekoran keadaan lokap yang menjijikkan.
Selain tu, tahanan juga tidak disediakan ruang bersih untuk sembahyang dan tandas yang sempurna.