KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diselar kerana mengambil tindakan seperti ‘berundur ke belakang’ kira-kira 30 tahun yang lalu apabila membuat catuan air bagi menangani krisis bekalan itu ketika ini.
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Jamal Yunos berkata, tindakan tersebut langsung tidak menggambarkan sebuah negara yang akan menuju status negara maju yang sepatutnya telah pun membuat persiapan awal bagi menghadapi krisis tersebut.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah lama menjangkakan krisis air akan berlaku di negeri ini dan disebabkan itu mahu membina Loji Rawatan Air Langat 2 sejak lima tahun lalu.
“Apabila krisis air terjadi, kerajaan Selangor masih menuduh Kerajaan Pusat, janganlah semua perkara dipolitikkan kerana kita sedang menghadapi krisis kemanusiaan paling kritikal.
“Oleh itu kita mendesak Kerajaan Selangor dapat menyegerakan pembinaan loji itu, kita perlu siapkan simpanan air melalui sistem yang diwujudkan, jangan hanya mengharapkan hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan PKR Selangor melaksanakan catuan bekalan air secara bergilir di seluruh negeri mulai hari ini ekoran daripada penyusutan paras air empangan.
Keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengelak rizab air di empangan di negeri ini digunakan terlalu banyak selain memastikan para pengguna terus mendapat bekalan air bersih.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Kerajaan Selangor diminta meletakkan kepentingan pengguna di tangga teratas dan harus melihat ke hadapan ketika menangani isu membabitkan keperluan asas yang harus diselesaikan secara bijak tanpa pertimbangan politik.
Katanya, krisis air sepatutnya tidak berlaku jika kerajaan negeri melakukan persiapan jangka panjang lebih awal dan bukannya mengambil tindakan ‘kuno’.
“Kita menyeru kerajaan negeri meletakkan kepentingan pengguna nombor satu supaya rakyat tidak terkesan dan mengalami kepayahan menghadapi krisis ini.
“Rakyat bertambah ramai, industri semakin bertambah, jadi isu-isu berkaitan perlu ditangani dengan baik,” katanya.