1169) METRO AHAD 23/2/2014 TETAP TULEN TANPA HOLOGRAM
25 Feb 2014
Headline: Tetap tulen tanpa hologram
Publication: MA
Date of publication: Feb 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024
Kuala Lumpur: “Al-Quran akan tetap tulen, walaupun
tanpa hologram (imej fotografi tiga dimensi laser).”
Itu tegas Presiden Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia
(PQM), Sabariah Abdullah dalam menyatakan bantahannya terhadap keputusan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasakan penggunaan pelekat hologram pada
setiap terbitan naskhah al-Quran.
Berhubung perkara itu, Sabariah berkata, bermula 1 Mac ini
kerajaan mewajibkan penerbit membeli hologram berharga RM1 melalui Bahagian
Teks al-Quran KDN sebagai satu jaminan ketulenan naskhah yang dijual.
Katanya, jika arahan itu tidak dipatuhi, penerbit atau
pekedai akan didenda RM10,000 atau dihukum penjara.
“Setiap hologram perlu ditampal pada setiap naskhah
(al-Quran) sebelum dibungkus, satu lagi beban kepada penerbit dan akan
menyebabkan kenaikan harga jualan.
“Penerbit mencetak 5,000 hingga 20,000 naskhah
al-Quran, ini bermakna penerbit harus menyediakan wang tunai RM20,000 untuk
membeli hologram.
“Ia sangat membebankan penerbit, terutama penerbit
kecil,” katanya pada sidang media khas berhubung isu ini, di sini,
semalam.
Turut Hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Nadzim Johan dan Ustaz Mukram Mohd Taib dari Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA).
Sabariah berkata, tidak dinafikan pengawasan dan
penguatkuasaan terhadap penerbitan adalah longgar, namun penggunaan hologram
tidak boleh diharapkan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Persatuan (PQM) mencadangkan supaya ‘sistem perakuan
betul huruf pruf (salinan percubaan) akhir teks al-Quran’ yang diguna pakai
ketika ini dikekal dan diperkasakan, selain pemantauan berkala dan sistematik
ke premis bercetak,” katanya.
Post Views: 215