1164) BERITA HARIAN 19/2/2014 KAJI SEMULA SYARAT MILIKI 10 KAD SIM
20 Feb 2014
Headline: Kaji semula syarat miliki 10 kad SIM
Publication: BH
Date of publication: Feb 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Syed Azwan Syed Ali; Sarah Sulaiman
Kuala Lumpur: Kaji semula peraturan yang membenarkan setiap
individu mendaftar sehingga 10 talian prabayar.
Itu desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna
terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung isu penjualan
kad SIM haram yang boleh menggugat keselamatan negara.
Peraturan sedia ada membuka ruang kepada penyelewengan dan
penyalahgunaan maklumat peribadi oleh pihak ketiga yang mungkin mendaftarkan
baki sembilan lagi talian prabayar itu tanpa pengetahuan penama asal.
Daftar nama individu lain
Lebih memburukkan keadaan, kad SIM prabayar yang didaftarkan
atas nama individu lain itu dikhuatiri digunakan pihak tidak bertanggungjawab
termasuk penjenayah.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman, berkata SKMM perlu mengkaji peraturan
sedia ada yang membolehkan pengguna mendaftar sehingga 10 talian prabayar.
“Ia buka ruang kepada salah guna kerana kad SIM
prabayar sama akan digunakan semula selepas ia tidak lagi aktif. Dalam hal ini,
syarikat telekomunikasi kena bertanggungjawab sebab mereka mempunyai pangkalan
data pengguna dan boleh mengesan jika ada perkara tak kena.
“Kalau kita tengok secara khusus, majoriti pengguna
tidak memerlukan sehingga 10 talian telefon,” katanya mengulas isu
penjualan kad SIM prabayar haram dibongkar Unit Khas BH sejak Ahad lalu.
Akhbar ini melaporkan penjualan kad SIM prabayar tanpa perlu
mendaftar itu boleh dibeli dengan mudah di ibu negara, termasuk di pusat
beli-belah dan pusat tumpuan pelancong seperti Chow Kit.
Lebih membimbangkan apabila kad SIM haram itu dijual secara
terbuka termasuk kepada pendatang asing sekalipun SKMM mewajibkan syarikat
telekomunikasi dan wakilnya memastikan pengguna mengemukakan dokumen pengenalan
diri bagi mengelakkan ia disalah guna, berkuat kuasa Januari 2006.
35.9 juta talian prabayar
Isu membabitkan lebih 35.9 juta talian prabayar itu
menimbulkan kebimbangan kerana penggunaannya membuka ruang kepada perlakuan
jenayah seperti penipuan, peras ugut, kongsi gelap mahupun pengganas kerana
talian telefon itu tidak didaftarkan di atas nama pengguna akhir.
Menyokong kajian semula had maksimum 10 talian itu, Setiausaha
Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman
menegaskan perlunya kawalan dan inventori pendaftaran di peringkat pengedar kad
SIM prabayar bagi mengelakkan penjualan kad SIM haram itu.
“Penjual kad SIM ini juga perlu didaftarkan atau
dilesenkan, kawal peringkat sumber. Pihak berkuasa juga perlu pastikan hukuman
maksimum dilaksanakan,” katanya.
Post Views: 209