POLIS sedang meneliti hampir 30 kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dipercayai boleh memberi petunjuk kepada kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifiqiyah, Kampung Datuk Keramat Hujung.
Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sejak semalam hingga ke waktu sidang media diadakan, sepasukan polis sedang meneliti semua rakaman itu.
Katanya, kedudukan CCTV di sekitar pejabat PPIM bersebelahan pusat tahfiz itu boleh merekodkan situasi yang berlaku sebelum dan sewaktu kejadian.
“CCTV ini menampakkan hampir semua sudut pusat tahfiz termasuk Taman Tasik Datuk Keramat yang terletak di belakang bangunan ini.
“Semakan mendapati bermula 7 malam hingga 12 tengah hari, terdapat belasan individu berlegar di sekitar taman dan polis sedang menyiasat keberadaan mereka yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran ini,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, banyak pihak yang tular di media sosial dengan mendakwa kejadian kebakaran itu ada kaitan dengan kegiatan PPIM.
“Saya tidak menolak sebarang kemungkin termasuk unsur khianat dan dendam. Biar polis siasat dari semua aspek.
“Kita menunggu petunjuk tetapi perasaan dendam itu ada kemungkinan dan ia perkara baru untuk PPIM, ” katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/09/263906/cari-petunjuk-daripada-rakaman-cctv