Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM Gesa SKMM Siasat Iklan ‘Buah Jadi Pilihan Isteri’ – Perak Today – 30/9/2017
30 Sep 2017

Snapshot

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat sebuah video iklan berbaur lucah yang kini tular di media sosial.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun golongan muda mungkin mudah terdedah terhadap bahan seumpamanya di Internet, tetapi ia sepatutnya dipantau pihak berkuasa sebagai langkah pencegahan.

“Zaman sekarang penerimaan mengenai produk atau iklan tersebut mungkin berbeza berbanding dulu. Tetapi sebagai menghormati budaya timur dan sensitiviti masyarakat Malaysia, ia tidak sesuai untuk dipaparkan secara umum kerana boleh ditonton oleh generasi muda.

“Sehubungan itu, kita minta SKMM siasat video ini, dan meneliti dari segi kesesuaiannya. Kita berharap SKMM dapat menangani perkara ini dengan segera,” katanya lapor mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai iklan yang memaparkan dua pelakon sebagai suami isteri yang dikatakan mempromosikan produk yang kononnya dapat membantu membesarkan alat sulit lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Iklan ‘Buah Jadi Pilihan Isteri’ Cetus Kontroversi

Selain dialog, menerusi video berdurasi 1 minit dan 22 saat itu turut memaparkan adegan dan audio yang membawa konotasi seks, yang tidak sesuai ditonton dan diperdengarkan untuk lapisan umum.

Nadzim berkata, selain meneliti kesesuaian iklan tersebut oleh SKMM, satu garis panduan perlu diwujudkan berdasarkan sudut agama, budaya dan sosial.

“Saya berpendapat perlu ada garis panduan dari sudut agama, sosial dan budaya mengenai apa-apa iklan yang hendak dibuat. Asasnya ia harus menepati jangkaan masyarakat secara baik dan tidak keterlaluan sehingga memberi kesan buruk,” katanya.

Sementara itu, penceramah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani pula menjelaskan bahawa di dalam Islam mengatakan supaya menjauhkan diri daripada melakukan zina.

Biarpun produk ‘tenaga batin’ untuk kebaikan suami isteri, tetapi pendedahan iklan tersebut secara umum mengundang yang belum berkahwin kepada perbuatan zina.

“Sebaik-baiknya carilah jalan yang tidak terlalu memperincikan kegunaan, fungsi atau kesannya, di dalam konteks iklan ini melibatkan hal sulit rumahtangga,” katanya.

Menurut Ahmad Dusuki, jika tiada tapisan, ia akan memberi imaginasi kepada golongan muda dan seterusnya terjebak dalam gejala sosial.

“Video yang tersebar pastinya akan mengundang kata-kata negatif di laman sosial, sekali gus mengundang dosa buat mereka yang berkata-kata sedemikian,” katanya.

Bersetuju dengan pandangan Nadzim, beliau turut menyarankan supaya pengeluar produk perlu mendapatkan pandangan pakar terutama dari sudut agama bagi memastikan iklan yang dihasilkan bersesuaian untuk tontonan umum.