Rawang – Wakil penduduk Kota Puteri Catalina telah membuat aduan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu rumah yang dibeli sehingga mencecah RM 500,000.00 tetapi tidak diselenggara dengan baik meskipun aduan telah dikemukakan berulang kali kepada pemaju perumahan.
“Rumah patut siap 2012 lagi, tapi tunda sampai 2016 baru dapat kunci. Bila dah masuk rumah, keadaan rumah tak selamat untuk didiami” rungutan salah seorang wakil penduduk, Abdullah Samsi.
“Bulan Februari dah bawa isu kepada Exco Perumahan Selangor tapi wakil sahaja dihantar” tambahnya lagi.
Hasil tinjauan Aktivis PPIM ke lokasi perumahan mendapati struktur rumah yang kebanyakannya mengalami masalah yang sama iaitu keretakkan di bahagian dinding, keadaan bumbung bocor, ‘finishing’ tidak sempurna, sinki bocor, tiada penutup longkang besi dan banyak lagi menyebabkan timbul keraguan akan keselamatan penduduk.
“Kalau hujan lebat air keluar mengalir di dinding, tiba-tiba ada air menitik dari syiling. Kami risau syiling rumah akan pecah bila sudah terlalu banyak takungan air diatas” jelas salah seorang penduduk, Shahril Ameer.
“Kerja tak menyeluruh, setakat melepaskan batuk ditangga sahaja. Sendat batu pada tangki air kemudian batu akan jatuh semula” tambahnya lagi.
Kebanyakan penduduk juga sudah berulang kali mempersoalkan isu ini kepada Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi tiada sebarang jawapan. Malahan PKNS mengarahkan penduduk membawa isu ini kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Kesemua penduduk berharap supaya tempoh jaminan kerosakan yang hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi mampu dipanjangkan serta kesemua kerosakan mendapat pampasan yang setimpal.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa untuk membuka kertas siasatan dan melihat semula sijil layak duduk (CF) yang diluluskan oleh PKNS dan MPS tanpa mengendahkan keselamatan dan ‘standard finishing’ sebuah projek perumahan yang layak didiami.
Berita selanjutnya di https://www.facebook.com/muslimconsumer4u/videos/vb.200137296705417/1597559426963190/?type=3&theater