BANGI, 10 Muharram 1439, Ahad – Orang ramai meminta mereka yang rasa ditipu oleh penganjur ekspo kerjaya yang berlangsung di Tabung Haji Hotel Kepala Batas, Alor Setar untuk membuat laporan aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Sejak awal pagi hari ini, tular di media sosial luahan seorang pemilik akaun MissRenne NJ yang merasa amat teraniaya dengan apa yang berlaku di tapak ekspo berkenaan semalam.
Katanya, dia dan pengunjung lain terpaksa beratur panjang sehingga dua jam sebelum diberi pilihan membeli borang dengan harga RM10 sekeping.
“Aku beratur hampir dua jam, itu pun tak dapat masuk lagi. Aku mula tanya soalan bertalu-talu dan mempersoalkan dia (petugas ekspo) setelah aku beratur dua jam then aku kena keluarkan duit RM50 pula untuk beli borang? Sistem bodoh apa macam tu?,” luahnya.
Ramai pengguna lain mencadangkan agar laporan aduan dibuat kepada pihak PPIM untuk menyelesaikan masalah ini.
“”Ramai-ramai report PPIM, saya dah buat report. Minta saudara Yusuf Azmi mai tengok sat,” tulis Mujahid Mahdi.
Penganjur ekspo, dipercayai Jobsifu.com telah memadamkan laman Facebook mereka setelah mendapat kecaman ramai.