https://www.youtube.com/watch?v=TXDKojJAWY8
Sebanyak 10 tan sampah yang terperap di rumah dua tingkat didiami warga emas, Zaidah Mansur, 67, sejak tujuh tahun lalu dikeluarkan pelbagai pihak dalam tempoh lebih sembilan jam, semalam.
Kerja murni dilaksanakan itu hasil bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muslimat PAS Cawangan Flat Taman Kosas serta penduduk setempat. Bermula jam 8.30pagi, Zaidah Sebelum itu enggan membuka pintu rumahnya dan membenarkan sukarelawan masuk namun selepas dipujuk dia bersetuju rumahnya dikemas.
Antara barangan dikeluarkan daripada rumahnya termasuk perabot, pakaian lama, kertas, plastik, peralatan yang rosak dibawa menggunakan lori MPAJ dan syarikat, Fateh Construction & Services Sdn Bhd. Selain sukarelawan, gotong-royong berkenaan turut disertai Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, KetuaSeksyen Pembangunan Kendiri dan Akademik, UPM, Rafidah Sadarudin dan Sukarelawan tempatan.
Ketika rumahnya dibersihkan, Zaidah juga menerima kejutan daripada rakannya dari Universiti Teknologi MARA yang sama-sama menuntut pada 1978.
Gotong-royong itu diakhiri dengan bacaan doa selamat dan rawatan Islam yang diketuai Perunding Perubatan Islam, Tuan Asmawi Tuan Umar. Akhbar ini minggu lalu mendedahkan Zaidah hidup dalam timbunan sampah yang kali terakhir dikemas tujuh tahun lalu ekoran keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Berkongsi ceritanya dengan sekretariat PPIM, dia berterima kasih mana-mana pihak yang sudi mengemas rumah dan mengubati sakit dialaminya sejak sekian lama.
“Saya ucap terima kasih kepada semua yang membantu. Insya-Allah selepas ini mudah-nudahan saya kembali sihat,” katanya. Sementara itu Nadzin berkata, pihaknya bersyukur dapat membantu Zaidah dengan bantuan beberapa pihak lain yang memberikan kerjasama begitu baik.
Katanya, ia menjadi kes contoh kepada masyarakat di negara ini untuk mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.
“Alhamdulillah, kami dapat membantu sedaya yang mungkin. PPIM tidak bersendirian kerana ramai yang memberikan bantuan. Selepas ini kita akan tengok apa tindakan seterusnya,” katanya.