Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1095) BERNAMA 9/1/2014 Kenapa Pilih Pasar Chow Kit Atau Pasar Borong
09 Jan 2014

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Pasar Chow Kit dan sebuah
pasar borong besar di Selayang merupakan antara destinasi pilihan pengguna di
Lembah Klang untuk membeli barang keperluan dalam menangani tanggapan fenomena
‘semua barang naik harga’ ketika ini.
Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti ini membolehkan
pengguna memilih dan membandingkan harga sesuatu barang dengan pasar raya atau
‘kedai-kedai berhampiran’ rumah mereka.
Sikap mengutamakan ‘menang-menang’ dan ‘alah membeli menang
memakai ini’ membolehkan mereka menjadi pengguna yang bijak sekaligus tidaklah
sewenang-wenangnya menyalahkan sesiapa atas kenaikan harga sesuatu barang
keperluan itu.
Sebagai contoh, ada yang suka membeli bekalan dalam kuantiti
kecil untuk kegunaan harian dengan harga murah di Pasar Chow Kit ataupun
memilih untuk membeli dalam kuantiti banyak di pasar borong dengan harga yang
jauh lebih murah.
Bayangkan di Pasar Chow Kit, pengguna boleh membeli barang
kering seperti bawang, telur dan pelbagai jenis sayur dengan penjimatan RM1
hingga RM2 berbanding di pasar raya misalnya, kata seorang peniaga Mohd Isa
Chik, 35.
Mohd Isa telah berniaga selama 14 tahun di pasar itu yang
dianggap tempat ‘membeli barang masak murah di KL’ dan barang yang dijual pun
segar.
Katanya rata-rata penduduk asal ibu kota tahu kenapa Pasar
Chow Kit dianggap begitu dan boleh membuat perbandingan dengan tempat lain.
“Kami tidak pernah naikkan harga sewenang-wenangnya
seperti di tempat lain. Semua barangan basah dan kering ada dijual di sini
kecuali jika bekalan putus disebabkan hujan atau banjir.
“Bukan hendak berlagak, tetapi yang datang sini semua
sudah kenal kami dan sanggup datang dari jauh untuk dapatkan barang keperluan mereka,”
katanya.
Meskipun terpaksa bersaing dengan ‘penjual tepi jalan’ di
sekeliling mereka, beliau berkata peniaga berlesen di pasar itu mampu
memperoleh untung kira-kira RM600-RM1,000 sehari kerana faktor ‘murah dan
segar’ dan jual-beli pun boleh tawar-menawar.
Mohd Isa turut percaya pasar ini akan lebih dikenali dan
dikunjungi apabila projek penambahbaikan membabitkan bangunan baharu siap
sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.
Katanya kelak, pengguna tidak akan berdepan dengan masalah
parkir atau disaman penguatkuasa, malah akan disajikan dengan persekitaran
meletak kereta dan suasana jual-beli yang lebih menarik dan selesa.
Sementara itu di sebuah pasar borong di Selayang, kebanyakan
pengguna adalah peruncit, pengusaha restoran, katerer dan sebagainya yang
berbelanja untuk perniagaan mereka.
Turut ditemui ialah orang ramai yang membeli dalam kuantiti
banyak untuk tujuan keramaian seperti jamuan, kenduri dan majlis perkahwinan.
Rata-rata yang ditemui menyifatkan kenaikan harga barang
tidak mampu dielak tetapi tidak semestinya pengguna akan terjejas teruk kerana
pilihan untuk berjimat di tangan mereka.
Seorang peruncit yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Mat
berkata bawang boleh dibeli seguni dengan harga RM10 sahaja dan boleh dijual
murah kerana kuantiti yang banyak di pasar borong itu.
“Jika beli di sini, kita dapat berjimat selain boleh
menentukan harga jualan yang berpatutan dan tidak membebankan pengguna di
tempat saya,” katanya yang berniaga kedai runcit di Selayang.
Seorang suri rumah Roziah Selamat, 53, berkata ayam proses
segar dijual di pasar borong itu lebih murah iaitu antara RM6 hingga RM7
sekilogram berbanding hampir RM10 sekilogram di tempat lain.
“Di sini banyak pilihan seperti ayam tua, ayam kampung
dan ayam bulat. Semuanya segar. Kadangkala ada barang basah dijual dengan
‘harga ahli’ selain ada hari jualan tertentu untuk ahli membolehkan lebih
penjimatan,” katanya.
Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pengguna seharusnya bijak dalam
menentukan perbelanjaan sendiri.
Terdapat banyak pilihan tempat yang menawarkan barang
berkualiti pada harga yang jauh lebih murah seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan
pusat jualan yang menawarkan barang pada harga borong.
Nadzim juga menggesa kerajaan supaya mengawal aktiviti
penentuan harga oleh kartel-kartel yang semakin berleluasa, tambahan pula
ketika ekonomi negara yang semakin tidak menentu.
“Kalau kita perhatikan, ada tindakan daripada kumpulan
ini yang sengaja mempengaruhi kenaikan harga. Ekoran tindakan mereka ini, bukan
sahaja imej kerajaan sebagai regulator terjejas, malahan rakyat akan menjadi
tertekan dan marah akibat situasi ini,” katanya kepada Bernama.