1093) UTUSAN MALAYSIA 6/1/2014 KEMPEN KUMPUL MINYAK MASAK TERPAKAI
09 Jan 2014
SHARUNI Ismail (duduk, tengah bersongkok hitam) bergambar
bersama-sama tetamu dan pelajar-pelajar kejuruteraan awam dan kakitangan
Politeknik Shah Alam sempena Program Mengumpul Minyak Terpakai di TTDI,
baru-baru ini.
Politeknik Shah Alam (PSA) dengan kerjasama beberapa
pertubuhan dan organisasi telah mengadakan Kempen Mengumpul Minyak Masak
Terpakai di TTDI baru-baru ini.
Antara organisasi dan pertubuhan yang terlibat adalah Majlis
Perwakilan Penduduk Zon 16, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Perbadanan Pengurusan
Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri dan Syarikat Pengusaha Minyak
Biodiesel, Kris Biofuels Sdn. Bhd.
Menurut Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, Sharuni
Ismail, antara objektif utama program tersebut adalah untuk menggalakkan siswa
dan siswi PSA untuk melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Di samping mengadakan program bersama masyarakat, kita
mahu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya menggunakan minyak
terpakai.
“Dalam laporan akhbar 31 Oktober lalu, Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa hampir 90
peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula
minyak masak yang telah digunakan,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program
tersebut di perkarangan Dewan Bunga Kertas MBSA di TTDI di sini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kris
Biofuels Sdn. Bhd, Datuk Zainal Abidin Abdullah, Pengarah Bahagian Kitar Semula
PPSPPA, Ismail Mohamad dan Pengerusi Persatuan Penduduk Zon 16 merangkap Ahli
MBSA, Ir. Izham Hashim.
Sementara itu menurut Pengarah Program Kitar Semula
tersebut, Zarinah Zaini, program tersebut merupakan aktiviti antara pelajar PSA
dan penduduk setempat yang julung-julung kali diadakan.
“Kita menyasarkan pelajar kita seramai hampir 300 orang
ini akan mampu mengumpul 200 liter minyak masak terpakai dan membawanya ke
sini.
“Sebelum kita mengutip minyak masak terpakai kita
terlebih dahulu sudah memaklumkan kepada kira-kira 1200 pemilik rumah dengan
kerjasama Persatuan Penduduk Zon 16 agar mereka bersedia dengan minyak masak
yang ingin dilupuskan sebelum siswa-siswi datang membuat kutipan ke rumah
mereka,”katanya.
Katanya, di samping mengelak minyak masak dibuang
sewenang-wenangnya ke longkang, minyak yang dikumpul akan diserah kepada
syarikat Kris Biofules untuk dikitar semula menjadi minyak biodiesel.
Post Views: 140