Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGGUNA, INDUSTRI ANGGAP KEMALANGAN TIADA KAITAN – BERITA HARIAN – 30/10/17
30 Oct 2017

BH ( 30.10.17 ) Pengguna, industri anggap kemalangan tiada kaitan

Persatuan pengguna dan pengusaha bas serta lori membantah cadangan Kementerian Pengangkutan mahu mengkaji memperkenalkan dasar tamat hayat kenderaan. Dasar itu yang akan menetapkan had usia kenderaan di jalan raya, dicadangkan dengan alasan mahu mengurangkan risiko kemalangan disebabkan kenderaan lama.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguma Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata cadangan itu tidak relevan kerana nahas jalan raya tidak berkait dengan usia kenderaan.

Jika ada pun, katanya, kementerian perlu menunjukkan statistik bagi menyokong cadangan itu serta membuktikan kenderaan berusia menyumbang kepada nahas jalan raya. “Adakah statistik yang menunjukkan kenderaan berusia menjadi punca kemalangan? Tunjukkan statistik itu kerana pengguna mahu tengok, barulah boleh putuskan pandangan mengenai cadangan ini.

Jika statistik tiada, maka dasar itu tidak relevan. Ia umpama jatuhkan hukuman bunuh pada kenderaan ‘antik”. Tidak semestinya perlu dilupuskan kenderaan lama” katanya kepada BH, Semalam.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata pihaknya sedang mengkaji mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan bagi mengurangkan risiko kemalangan seperti yang membabitkan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang, Selasa lalu yang menyebabkan lapan maut. Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan akibat kerosakan dalam kemalangan itu sudah berusia 32 tahun, manakala sebuah lagi bas berusia lebih 10 tahun.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali percaya dasar itu tidak akan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara ini. Katanya, pengenalan dasar itu juga bertindih dengan fungsi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah pun menetapkan had usia bas serta teksi.

“Kemalangan selalu berpunca daripada kesilapan manusia dan masalah jalan raya, kajilah faktor itu. Saya harap kementerian akan rujuk kepada pihak industri untuk pandangan berkaitan kewangan dan perkara lain yang mereka mungkin tak tahu.” katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengendali lori Kuala Lumpur dan Selangor, Alvin Choong, berkata pihaknya juga tidak bersetuju dengan dasar itu kerana akan membebankan pengusaha lori.

Katanya, kemalangan, khususnya membabitkan lori, tidak berkaitan dengan usia kenderaan, tetapi berpunca daripada kecuaian pemandu serta penyelenggaraan kenderaan yang tidak sempurna.

“Persatuan kami menentang cadangan ini. Kementerian perlu berbincang dengan kami sebelum membuat dasar ini. Takkan kami perlu beli lori baharu sedangkan yang lama masih boleh digunakan.

Tunjuk statistik “Apakah ada statistik untuk buktikan usia kenderaan menjadi punca kemalangan? Mereka perlu tunjukkan statistik itu dahulu.” katanya. Bagaimanapun, Persatuan Haulier Malaysia menyokong cadangan itu dengan syarat had usia kenderaan yang ditetapkan adalah munasabah, iaitu sekurang-kurangnya 15 atau 20 tahun. – Presidennya, Nazari Akhbar, had usia itu sesuai kerana Sesebuah kenderaan komersial biasanya bergerak sehingga 15,000 kilometer sebulan.

“Bayangkan berapa jarak perjalanan dalam tempoh setahun dan sudah pasti ia beri kesan pada ciri-ciri keselamatan pada kenderaan itu. Jika lori rosak (disebabkan usia) dan berada di bahu jalan, ia juga boleh menyebabkan kemalangan pada kenderaan lain,” katanya.