BANGI, 27 NOV 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat julung kalinya telah mengadakan Pertandingan Debat Belia 3.0 yang melibatkan lebih 30 buah universiti awam dan swasta terkemuka Malaysia.
Pertandingan Debat Belia 3.0 yang dianjurkan sendiri oleh Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Burhanuddin Helmi UKM dengan tajaan penuh dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dilihat berpotensi untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing disamping keterbukaan dalam melibatkan diri secara menyeluruh dalam pelbagai isu berbangkit yang berlaku di dalam Malaysia.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 24 November sehingga 26 November 2017 menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang bertindak sebagai pembangkang dinobatkan sebagai juara sekaligus membawa pulang hadiah utama bernilai RM2,500.00.
Manakala tempat kedua pula berpihak kepada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia, Gombak yang bertindak sebagai kerajaan dengan habuan sebanyak RM1,700.00. Pusingan akhir di dalam dewan perdebatan panas dan tidak senang duduk membawakan isu “Belia : Dua Kerja Bukan Satu Pilihan” sekaligus mengiktiraf pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Tahun ke-3 UiTM Shah Alam, Dinie Zhafri Zainuddin sebagai pendebat terbaik.
Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Belia 3.0 yang berlangsung di Persada Canselori UKM telah dirasmikan oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni UKM, Dr. Mohd. Suzeren Md. Jamil, Pengetua Kolej Burhanuddin Helmi UKM, Dr. Muhammad Rahimi Yusop, Pengarah Kreatif YPNM, Haji Yann Razal, para juri dan lebih 50 orang mahasiswa.
Program seperti ini dilihat mampu mencorak belia yang produktif dalam membentuk perhubungan korporat disamping menjana aset dan produk negara yang mampu menjadi tampok kepimpinan Malaysia pada masa akan datang. Semoga jalinan baik diantara PPIM, YPNM, UKM dan semua pihak yang terlibat dalam Pertandingan Debat Belia 3.0 akan diteruskan pada masa akan datang.