1041) UTUSAN MALAYSIA 21/12/2013 PROJEK PERUMAHAN KAKITANGAN AWAM PERLU DIPERLUAS KEPADA PEKERJA SWASTA
21 Dec 2013
KUALA LUMPUR 20 Dis. – Cadangan kerajaan untuk membina
projek perumahan dalam lingkungan harga RM90,000 bagi penjawat awam perlu
diperluaskan kepada pekerja swasta bagi memastikan setiap rakyat menikmati
manfaat tersebut.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana golongan
berkenaan turut menanggung peningkatan kos hidup.
Tambahan pula katanya, sewaktu isu harga rumah yang
terlampau mahal dan tidak mampu dimiliki masih belum menemui titik
penyelesaian, rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan tol, minyak dan
sebagainya.
Jelasnya, ekoran peningkatan kos sara hidup itu, ramai
pekerja swasta tidak lagi menikmati kualiti hidup yang sihat kerana perlu
mencari sumber kewangan lain bagi menampung keperluan hidup.
“Ada yang perlu bekerja di pejabat pada waktu siang dan
mengajar tuisyen kepada anak jiran pada waktu malam. Walaupun dari satu sudut
dilihat positif, namun kualiti hidup seseorang akan jatuh ekoran kepenatan,”
katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Dr. Ali Hamsa berhubung kesediaan kerajaan membina projek perumahan untuk
penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000 bagi membolehkan golongan
itu memiliki rumah sendiri.
Tambahnya, masalah harga rumah yang terlalu mahal boleh
diatasi dengan bantuan peruntukan yang disediakan oleh syarikat-syarikat milik
kerajaan (GLC) bagi menampung kos kerajaan membina rumah.
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan
Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, kerajaan
perlu menyegerakan projek rumah pasang siap berharga RM100,000 ke bawah bagi
memberi peluang kepada pekerja swasta khususnya dan golongan belia memiliki
rumah sendiri.
Katanya, kerajaan juga perlu menimbangkan reka bentuk
kediaman yang dibina supaya sesuai dengan keperluan sesebuah keluarga.
Post Views: 163