1028) HARIAN METRO 7/12/2013 -DBKL DENGAR BANTAHAN-
09 Dec 2013
Headline: DBKL dengar bantahan
Publication: HM
Date of publication: Dec 7, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Ardyhansah Amat
Kuala Lumpur: Terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) kerana mahu mendengar bantahan projek pembangunan komersial di
dua lot bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan.
Demikian luahan wakil penduduk Hartamas Height Azim Abdul
Aziz, selepas menghadiri sesi pendengaran bantahan mengenai projek berkenaan,
di sini, semalam.
“Selepas bantahan dilakukan Julai lalu, akhirnya kami
dimaklumkan DBKL untuk menghadiri sesi pendengaran bantahan secara rasmi hari
ini (semalam)
“Selain penduduk, wakil dari Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (MAWIP) dan pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan hadir bagi
menyatakan bantahan pembangunan komersial di situ.
“Saya ingin menegaskan walaupun penduduk Hartamas Height
terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat berlainan agama, mereka (yang bukan
beragama Islam) juga menolak pembangunan komersial itu yang dianggap bakal
menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin kronik,” katanya.
Tambah Azim, DBKL memaklumkan akan membuat laporan kepada
Unit Pusat Setempat (OSC) dan Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal berhubung
perbincangan semalam.
“Selain itu, melalui surat yang dihantar salinan kepada
saya, Kementerian Wilayah Persekutuan juga ada meminta keterangan dari Datuk
Bandar dan DBKL berhubung projek pembangunan komersial itu.
“Saya ingin tegaskan kami masih tidak menolak
pembangunan, namun bukanlah membabitkan projek mega termasuk kawasan komersial,
bangunan pejabat dan sebagainya yang lebih banyak mendatangkan keburukan dari
kebaikan,” katanya.
Julai lalu, Harian Metro melaporkan, rintihan penduduk
Hartamas Height yang membantah tindakan DBKL mengeluarkan notis cadangan
pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi laporan
‘Projek ‘tutup’ Masjid’.
Menerusi beberapa lakaran grafik, penduduk mendakwa
pembangunan mega yang membabitkan pembinaan beberapa menara yang mencecah
ketinggian 49 tingkat itu mampu ‘menutup’ pandangan masjid dari seluruh arah
barat, barat laut dan barat daya.
Malah, penduduk mendakwa sehingga kini lot terbabit masih
lagi dalam zon perumahan dan niat mereka untuk menjadikannya kawasan komersial
dilihat bakal menarik lebih banyak kenderaan masuk ke situ seterusnya
menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku.
Selain itu, cadangan projek itu juga mendapat bantahan
beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa
Pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPMWPKL) serta Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang beranggapan ia tidak prihatin terhadap
sensitiviti kawasan persekitaran sebuah pusat ibadat bertaraf masjid negeri
Post Views: 137