Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
988) HARIAN METRO 14/11/13-Seksi main besi
15 Nov 2013

MENARIK apabila dipandang terutama si badan sasa
lengkap dengan pakej berwajah `macho’, bertambah seksi apabila membuka baju.
Namun benarkah tiada kesan negatif apabila memperolehnya dalam masa singkat?
SHUHADA MANSOR temui lelaki obses `main’ besi dan bertanyakan sejauh mana
mereka mendalami maklumatnya sebelum bermula.
`Main’ besi boleh dikategorikan sebagai salah satu
sukan yang semakin popular dalam kalangan jejaka. Tak terkecuali juga gadis
yang inginkan bentuk badan berotot tapi majoritinya dimonopoli kaum lelaki.
Bina badan bukan lagi perkara asing memandangkan
kebanyakan lelaki zaman sekarang makin sedar pentingnya penjagaan tubuh badan
selain mengimpikan bentuk badan sasa seperti selebriti terkenal dalam dan luar
negara.
Sama ada untuk dapatkan kesan dalam masa singkat
atau panjang, ada yang sanggup menghabiskan masa dan wang pergi ke gimnasium
atau membeli peralatan senaman seperti palang besi (bar), `dummbell’ dan
`olympic bench’ untuk digunakan di rumah demi mendapatkan bentuk badan
diidamkan.
Trend ini sangat jelas terbukti apabila gimnasium
dipenuhi dengan jejaka terutama waktu cuti dan hari minggu. Mungkin hanya
melaburkan kurang 10 peratus daripada pendapatan bulanan, mereka dapat
memperoleh susuk tubuh berotot, ideal dan menggiurkan.
BAHAYA MAHU CEPAT SASA
Media yang sering memaparkan gambar pelakon barat
dan tempatan di muka hadapan yang bertubuh sasa dan digilai ramai wanita.
Secara tak langsung ia mampu mempengaruhi golongan muda untuk mendapatkan
bentuk badan sedemikian.
Ada pilihan dengan memperoleh jalan mudah atau
susah. Jalan mudah dengan pengambilan steroid untuk hasil lebih cepat manakala
prosedur biasa dengan bersenam ikut gaya betul tetapi makan masa panjang.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan dalam satu kenyataannya berkata, masyarakat
terutamanya golongan muda memerlukan panduan serta bimbingan yang betul dalam
memiliki bentuk badan yang menarik.
Jelasnya, ekoran kurangnya pendedahan berhubung
bahaya dan kesan sampingan pengambilan ubat terkawal itu, golongan muda
mengambil jalan singkat dengan mengambil steroid bagi memiliki bentuk badan
diidamkan.
STEROID ANCAM 18,000 BELIA
Menurut laporan sebuah akhbar pada Julai lalu,
lebih 18,000 orang kebanyakannya golongan belia terdedah kepada ancaman
kesihatan serius termasuk boleh membawa kematian gara-gara penggunaan steroid
hanya kerana mahu tampil menarik dan berotot.
Lebih malang sebahagian besar daripada mereka
langsung tidak menyedari kesan sampingan pengambilan ubat terkawal itu apatah
lagi tidak mendapatkan nasihat doktor atau pakar terlebih dulu sebelum
menggunakannya.
Penasihat latihan profesional, Ahmad Zaki
Jinlapudin menyifatkan perkara itu sebagai `kerja gila’ sebenarnya boleh
menyebabkan ramai berisiko diserang sakit jantung, kerosakan hati dan darah
tinggi secara senyap.
Beliau yang berpengalaman luas selama 10 tahun
dalam bidang bina badan dan kecergasan menganggarkan separuh daripada mereka
yang ke gimnasium yang asalnya untuk tujuan kesihatan terjebak dengan penggunaan
steroid.
“Hasil maklumat dan pemerhatian, saya
anggarkan separuh daripada ahli pusat kecergasan atau gimnasium menggunakan
steroid. Kalau berdasarkan 300 gimnasium komersial dan 60 gimnasium rakyat di
seluruh negara dengan anggaran 100 orang ahli setiap gimnasium, ini bermakna
18,000 orang khususnya belia menggunakan steroid tanpa menyedari risikonya.
“Disebabkan terpengaruh dengan `senior’, ramai
ahli gimnasium baru mengambilnya menerusi pil dengan harga serendah 50 sen
sebiji atau suntikan yang kosnya mencecah ribuan ringgit,” katanya.
SASA UNTUK MEMIKAT
Walaupun kelihatan seksa ketika sedang bersenam,
tetapi percayalah ada sebahagian gadis yang mengimpikan lelaki badan sasa
sebagai teman lelakinya. Ia ibarat bonus kepada mereka yang tergolong dalam sukan
ini.
Namun, ada juga beranggapan lelaki `main’ besi
bertujuan untuk pikat wanita dengan bentuk tubuh badan berotot dan seksi.
Persoalan ini diajukan sendiri penulis kepada beberapa jejaka yang obses `main’
besi.
Menurut Mohd Amri Abd Kadir, 26, dia menyangkal
dakwaan itu dengan menjelaskan memperoleh bentuk badan ideal adalah hasratnya
sejak dulu selain bukan saja jadikan kita sihat dan terasa lebih bertenaga.
“Jika ditanya sama ada ia memikat atau tidak,
mungkin dari sudut psikologi, individu sekeliling akan menyukai seseorang yang
positif. Apabila tubuh sihat, secara automatik kita akan jadi positif dan orang
suka pandang. Aura positif itu sebenarnya yang memikat untuk buatkan orang
pandang,” katanya.
Kenyataan itu dikongsi rakannya yang juga model
sambilan, Irfan Faiz Fakhrudin, 25, dengan mengakui sebagai model, dia harus
menjaga penampilan terutama bentuk badan untuk sentiasa kelihatan menarik di
kaca televisyen. Katanya, hal sama turut berlaku kepada selebriti dan artis
tempatan kerana apabila berstatus `public figure’, mereka perlu mempunyai tubuh
menarik untuk popular.
“Bagi jejaka tak kiralah maskulin atau tidak,
tubuh adalah aset dan menjadi instrumen untuk digayakan seharian. Kalau
perempuan lebih muda dengan berpakaian cantik ditambah aksesori, lelaki perlu
tubuh menarik untuk wujudkan aura tersendiri,” katanya.
POTENSI JADI GEMUK
Pandangan ini disuarakan segelintir jejaka yang
beranggapan sekiranya seseorang itu berhenti daripada `main’ besi, dia berpotensi
untuk jadi gemuk dengan mendadak.
Justeru, hal ini membuatkan mereka lebih selesa
dengan keadaan badan sedia ada tak kiralah gemuk atau kurus memilih untuk
berkeadaan begitu tanpa bersusah payah bina otot.
Bagi Saufi Mohd Syukri, 28, dia berpendapat bina
badan tidak semestinya untuk memiliki badan gagah tetapi memadai untuk
memberikan kepuasan apabila melihat diri sendiri di hadapan cermin.
“Dari segi pemakanan, saya lebihkan makanan
berprotein tinggi seperti daging dan ayam, manakala makanan tambahan cuma
protein `shake’, minyak ikan dan multivitamin.
Perlu berdisiplin mengikut arahan piramid makanan
selain mengawal makanan banyak lemak dan gula akan membantu,” katanya.
Mengenai kesan sukan itu jika ditinggalkan pada
masa akan datang, katanya yang menjadikan jaguh bina badan negara, Sazali Samad
sebagai idolanya memberitahu, tubuh badan seseorang itu boleh menjadi gemuk
jika cara pemakanan tidak dikawal namun akan kembali normal seperti asal jika
cara pemakanan diamalkan dengan betul.
DIPANDANG `GELI’
Dipuji seksi, berbadan tegap dan menggiurkan itu
sudah biasa didengar. Namun ada cerita sebaliknya. Mereka yang ditemui sempat
meluahkan perasaan kepada penulis mengenai pandangan masyarakat yang sinis.
Diakui, mereka bukan bermegah atau bangga memiliki tubuh badan berotot besar,
atau seperti dituduh menjadikannya aset utama memikat kaum wanita.
“Tidak semua wanita suka dengan lelaki yang
menjadi ahli bina badan, malah ada yang `geli’ melihat kami. Ada yang
berbisik-bisik dan mengumpat secara terangan tapi saya tak ambil hati. Selain
itu, tak nafikan cara orang yang bina badan berjalan memang dilihat seperti
berlagak terutama mereka yang profesional dalam sukan ini.
“Orang ramai kena memahami keadaan fizikal
kami yang sudah mengembang hasil otot yang semakin membesar sehingga mengubah
cara berjalan. Itu sebabnya,” kata Saufi.