KUALA LUMPUR – Dalam 10 aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sembilan daripadanya adalah kes penipuan, kata Datuk Hishamuddin Hashim.
Peguam PPIM itu mendakwa, keghairahan untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang murah menyebabkan mangsa-mangsa penipuan terlupa faktor penting iaitu memastikan sama ada wujud atau tidak pihak yang membuat tawaran tersebut.
“Kalau bagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), rasuah musuh nombor satu negara. Kalau bagi agensi dadah mereka kata dadah nombor satu negara, kita di PPIM kata penipuan musuh nombor satu jugak.
“Hari-hari cerita pasal tipu, tipu, tipu dan tipu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sidang media tersebut diadakan selepas 11 ejen yang terlibat menjual tiket penerbangan murah membuat aduan ke pejabat PPIM berkenaan ditipu seorang wanita yang melantik mereka sebagai ejen.
Menurut Hishamuddin, meskipun kes-kes penipuan seperti itu akhirnya boleh dibongkar namun ia tidak sepatutnya berlaku.
“Kita juga minta pengguna peka dan jangan sekali-kali beli mana-mana tiket daripada ejen yang tidak berlesen,” ujarnya.
Katanya, PPIM menggesa polis memandang serius kes-kes melibatkan penipuan secara kolektif dengan tidak membiarkan pelaku penipuan terlepas.
Tambahnya, sesuatu kes itu perlu disiasat seadil-adilnya dengan memperlihat secara komprehensif dan bukannya sekadar melepas batuk ditangga. – MalaysiaGazette
Artikel Oleh : Malaysia Gazette
JANGAN BIARKAN JIKA DITIPU SINDIKET TAWAR HARGA MURAH