Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
943) METRO AHAD MUKA DEPAN 27/10/13 : Pengantin mangsa along berantai
05 Nov 2013

Byline / Author:
Oleh Yusmizal Dolah Aling
Putrajaya: Inai di
jarinya masih merah, tetapi seorang wanita yang baru dua bulan mendirikan rumah
tangga nekad mengelar tangan kirinya untuk mencabut nyawa sendiri.
Bukan disebabkan
kerenah suami, tetapi gara-gara tindakan wanita berkenaan meminjam wang cuma
RM1,000 daripada ceti haram untuk menguruskan majlis perkahwinannya.
Ini berikutan dia
bukan saja dijerat along terbabit sehingga terpaksa membayar sehingga 60 kali
ganda, malah tidak tahan kerana diganggu tanpa mengira masa, sejak dua minggu
lalu.
Tindakan nekad itu
dilakukan awal pagi Isnin lalu, selepas dia diganggu lebih 20 along berantai
yang mengenakan kadar bunga tidak masuk akal antara 35 hingga 60 peratus,
mengakibatkan dia tidak mampu melunaskan bayaran pinjaman itu.
Mujur ketika
kejadian, ahli keluarga di rumah menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku di
dalam bilik dan terus membawanya ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan
rawatan segera.
Dia yang hanya mahu
dikenali sebagai Mastura, 26, berkata, daripada jumlah RM1,000 yang dipinjam,
dia hanya menerima RM300 manakala bakinya ditahan sindiket along.
“Semakin hari
saya rasa sungguh tertekan dan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan orang
lain, termasuk suami.
“Kemuncaknya
Isnin lalu, saya tidak mampu mengawal diri dan mengambil keputusan mengelar
tangan menggunakan pisau cukur.
“Dalam fikiran
saya waktu itu, biar saya mati daripada terus diganggu along yang meminta wang
mereka. Secara tidak sedar, saya menanggung hutang lebih RM30,000, mana saya
nak cari duit bayar sebanyak itu, sedangkan jumlah pinjaman hanya
RM1,000,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Mastura, dia
merahsiakan perkara itu daripada suami kerana mahu semua urusan perkahwinan
berjalan seperti dirancangkan tetapi pada masa sama, along yang memegang kad
ATM miliknya berikutan masalah pada pinjaman pertamanya, memasukkan wang ke
dalam akaun itu tanpa diketahuinya.
Katanya,
segala-galanya bermula apabila dia menghadapi masalah kewangan ketika melakukan
persiapan perkahwinan, kira-kira empat bulan lalu.
“Sebelum berkahwin,
saya meminjam RM5,000 dengan bayaran RM700 sebulan. Semuanya berjalan lancar
hinggalah saya tidak mampu membayar dan along mula menghubungi ibu bapa serta
mengugut menyimbah cat ke rumah kami.
“Emak yang
bimbangkan keselamatan kami kemudian membayar sebanyak dua kali kepada along
berkenaan RM2,000 dan RM1,800.
“Tidak lama
selepas itu, kami mendapat panggilan daripada ceti mengatakan perlu membayar
RM13,000 bagi mengelakkan dikenakan caj lebih tinggi,” katanya.
Difahamkan, keluarga
Mastura membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Putrajaya
pada hari sama.
Kemudian mereka ke
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Selasa lalu, untuk membuat aduan
mengenai along berkenaan dan semakan awal mendapati Mastura meminjam daripada
syarikat tidak berlesen.
Pegawai Unit
Tindakan Khas PPIM Yati Saharudin berkata, along mengambil kesempatan terhadap
Mastura yang mempunyai masalah kewangan dengan menawarkan pinjaman berulang,
menyebabkan jumlah meningkat hanya dalam tempoh dua minggu lalu.
“Kita minta dia
buat laporan polis dan sekretariat bertemu dengannya untuk memberi sokongan
moral mengenai apa yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, PPIM
merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, selain
membantu menjadualkan semula pinjaman mangsa selepas mengadakan pertemuan
dengan beberapa along itu.