Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ROKOK JIJIK KUASAI PASARAN – HARIAN METRO – 3/4/18
09 Apr 2018

Screen Shot 2018-04-09 at 1.05.43 PM

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terkejut dengan tindakan penyeludup rokok yang dikesan sanggup menyimpan barangan larangan itu di dalam kandang babi dan perbuatan itu seolah-olah mencemarkan imej agama terutama kepada individu Islam yang menghisap rokok seludup.

Kegiatan penyeludupan rokok seludup dari negara jiran itu dibongkar akhbar ini dalam satu laporan khas di Klang, Selangor baru-baru ini. Berdasarkan pemantauan Pasukan Polis Marin (PPM) itu mendedahkan segelintir penyeludup sanggup menyimpan rokok dalam kandang babi sebelum diedar ke lokasi tertentu.

Namun, pembongkaran itu tidak mendapat reaksi badan bukan kerajaan (NGO) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang sebelum ini lantang mengutarakan penguatkuasaan sebagai penyelesaian kepada rokok seludup untuk sama-sama berbincang atau berdiskusi dalam membantu kerajaan menguatkuasakan undang-undang sedia ada, selain mengurangkan jumlah perokok yang kini rata-rata sudah bertukar ke rokok seludup yang jauh lebih murah dan secara langsung menyebabkan kebocoran hasil kerajaan dianggarkan RM5 bilion setahun.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini, KKM tidak mengambil langkah serius untuk membendung perkara itu biarpun pendedahan demi pendedahan dibuat media tempatan sejak sekian lama.

“Saya juga terkejut apabila mendapati ada rokok seludup ini disimpan di kandang babi sebelum dibawa masuk untuk pasaran negara ini. Memang banyaklah pertikaian dari sudut merokok itu sendiri, tetapi jika tiada tindakan langsung sesuatu perlu dilakukan.

“Pihak berwajib seperti KKM perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang penjualan rokok bawah harga RM10 kerana rokok seludup ini dijual pada harga kurang RM7. Apa yang berlaku kini, hanya pihak tertentu mahu menguatkuasakan undang-undang sedia ada sedangkan KKM adalah agensi paling berkesan menyekat orang ramai daripada merokok sama ada rokok sah atau seludup.

“Jelas, cara penyeludupan dan penyimpanan di tempat bernajis dan kotor seperti di ladang babi, bukan sahaja boleh menyebabkan musibah, malah lebih daripada itu saya rasakan ia satu penghinaan kepada Islam,” katanya kepada Harian metro.

Nadzim berkata, rekod sedia ada menunjukkan sehingga kini Malaysia mempunyai empat juta perokok dan ia mungkin bertambah jika tiada kawalan terutama ke atas rokok seludup.

Tindakan segera perlu dilakukan untuk mengurangkan jumlah perokok dengan mengambil kira rokok seludup mendapat permintaan tinggi di pasaran sehingga 60 peratus rokok dijual di pasaran kini adalah rokok seludup.

“Kita ada undang-undang kawalan harga minimum RM10 satu pek. Rokok seludup ini pula dijual pada harga RM3 hingga RM7 setiap pek dalam pelbagai jenama, dan tidak ada kawalan termasuk gambar amaran. KMM ada undang-undang tetapi apakah ia dilaksanakan seperti sepatutnya?

Justeru katanya, PPIM menggesa KKM untuk mengambil satu tindakan khusus ke atas rokok seludup jika mahu mengurangkan jumlah perokok secara keseluruhan.

 

Artikel Oleh : Harian Metro

Rokok Jijik Kuasai Pasaran

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/04/326883/rokok-jijik-kuasai-pasaran