KUALA LUMPUR: Kurangnya kesedaran di kalangan peniaga untuk membayar zakat perniagaan menyebabkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meneruskan lagi siri program Ziarah Zakat yang ketiga.
Kempen yang dilakukan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu hari ini turut melawat 82 premis di sekitar Medan Mara dan Busana Mall, di sini.
“Kami akan pergi dari kedai ke kedai untuk bertemu dengan peniaga dan syarikat perniagaan bagi mewujudkan kesedaran mengenai kewajipan mereka memenuhi rukun Islam yang ketiga itu.
“Kempen ini dapat dilihat sebagai perkongsian antara kami dan PPIM dalam memberikan kesedaran kepada semua peniaga di luar sana mengenai kepentingan zakat dan bagaimana sumbangan kewangan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama, aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan wakil selebriti Norman Hakim.
Che Mat berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan kutipan zakat PPZ-MAIWP dan membawa agensi untuk lebih mendekati peniaga-peniaga dan komuniti perniagaan untuk mengelakkan mereka daripada pergi kepada pengumpul zakat atau agensi yang tidak sah.
Bagi pemilik Zaza Restoran, Zakaria Mohd Nor, 67, beliau sudah menjadi pembayar zakat sejak 20 tahun lalu dan percaya adalah penting bagi peniaga menyumbang sebahagian keuntungan sebagai zakat bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.
“Apabila seorang individu menjalankan perniagaan, sudah menjadi tanggungjawabnya membayar zakat dan saya harap peniaga mempunyai kesedaran dalam membantu mereka yang memerlukan sumbangan zakat dan membayar zakat perniagaan setiap tahun,” katanya.
Artikel Oleh : Berita Harian
ZAKAT PERNIAGAAN, RAMAI KURANG KESEDARAN
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/410281/zakat-perniagaan-ramai-kurang-kesedaran