Kuala Lumpur: Masih ada syarikat swasta yang
mendiskriminasi wanita bertudung walaupun hak setiap individu di negara ini
untuk bekerja dan mengamalkan agama masing-masing dijamin Perlembagaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai masalah itu
hampir setiap minggu dan masih ada syarikat berbuat demikian walaupun sudah
diambil tindakan.
“Prosedur ditetapkan syarikat itu sangat
bertentangan dengan Perlembagaan yang menetapkan bahawa setiap individu
mempunyai hak menyatakan dan menjalankan agama masing-masing serta menghormati
agama Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro dalam kalangan
wanita bertudung mendapati masalah itu bukan perkara asing bagi mereka.
Wan Nurul Izzah Mohd Salleh (gambar), 20, yang
bertudung sejak usia 17 tahun mengakui sukar mendapatkan pekerjaan.
“Saya baru menamatkan pengajian di Berjaya
University College Of Hospitaly kini sedang mencari pekerjaan sekitar Kuala
Lumpur.
“Malangnya apabila melihat penampilan saya
bertudung, premis berkenaan tidak menerima permohonan saya dengan alasan
prosedur mensyaratkan individu yang tidak bertudung selain berpakaian
seksi,” katanya.