Kuala Lumpur: Habuan RM200 juta. Tawaran itu dibuat satu sindiket dikesan cuba memperdaya individu tertentu untuk mendapatkan sejumlah wang kononnya akan digunakan bagi membiayai kos guaman mencairkan aset daripada Ratu Elizabeth berjumlah RM4 bilion.
Menyasarkan ahli perniagaan serta mereka yang dikenali, antara cuba diumpan termasuk Penasihat Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed yang diminta menyediakan dana berjumlah RM650,000 untuk dibayar kepada peguam bagi urusan mengeluarkan aset terbabit.
Dikatakan kos untuk proses pengeluaran aset yang berpangkalan di London itu sebanyak RM8 juta, namun individu yang mempunyai rangkaian dengan sindiket terbabit kekurangan RM2 juta menyebabkan tawaran itu dibuka kepada orang ramai.
“Ini satu isu yang besar kerana kita ada pengadu yang masih mengharapkan dana itu. Ia dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk semua duit yang banyak itu ada kaitan dengan pilihan raya.
“Individu menguruskan proses mendapatkan wang itu adalah seorang lelaki bergelar Datuk yang datang berjumpa saya untuk meminta wang kononnya bagi dibayar kepada peguam sebelum RM4 bilion diserahkan oleh pejabat Ratu Elizabeth.
“Semakan awal mendapati dokumen yang dikemukakan itu palsu dan saya juga sudah semak dengan Bank Negara dan Kementerian Kewangan, tetapi dana itu didapati tidak wujud,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima lebih 50 aduan berkaitan dana berkenaan.
Artikel Oleh : Harian Metro
HELAH DANA RM200 JUTA
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/04/333352/helah-dana-rm200-juta