882) SINAR HARIAN 4/9/13-Harga minyak: Keputusan memeranjatkan
04 Sep 2013
SHAH ALAM –
Pengumuman kenaikan harga diesel dan minyak petrol RON95 sebanyak 20 sen
seliter mulai tengah malam tadi memeranjatkan dan dijangka meningkatkan kos
terhadap pengusaha serta pengguna di negara ini.
Timbalan Presiden
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Abu Samah Bachik
berkata, pihaknya tidak dimaklumkan awal mengenai kenaikan itu dan pengumuman
tersebut sememangnya sesuatu yang tidak diduga.
“Pada mulanya kami
hanya dengar khabar angin dan anggap ia tidak betul. Kami tidak menjangkakan
kenaikan yang begitu mendadak dan kadar 20 sen itu memang banyak dan akan
membebankan pengusaha stesen minyak kerana kita perlu mengeluarkan modal lebih
untuk membeli stok minyak.
“Kos operasi stesen
minyak juga akan meningkat akibat kenaikan itu dan sudah pastinya pengguna juga
akan terbeban kerana kos sara hidup mereka meningkat,” katanya kerajaan perlu
cari mekanisme terbaik membantu rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi tidak
seimbang sebelum menaikkan harga petrol.
Sementara itu,
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman turut
terkejut kerana dalam keadaan ekonomi tidak stabil, pastinya akan memberikan
kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan
diharapkan jangan hanya tahu menaikkan harga minyak, sebaliknya mesti mencari
kaedah lain membantu rakyat,” katanya.
Sehubungan itu
katanya, beliau menyarankan kerajaan menggunakan kaedah lain seperti
memperkenalkan kad rebat kepada rakyat.
“Saya cadangkan
supaya kerajaan berikan kelebihan kepada individu yang menggunakan kereta
nasional dan pengguna motosikal supaya mendapat harga berlainan bagi membantu
mereka.
“Ini kerana jika
diberikan harga murah, semua dapat menikmatinya tidak mengira sama ada golongan
kaya atau miskin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau
berharap rakyat bijak mengatur perjalanan bagi mengelakkan penggunaan petrol
yang tinggi.
“Sebagai pengguna,
kita kena bijak dan mencari kaedah untuk mengelakkan pembaziran penggunaan
petrol.
“Walaupun kita
kecewa, tapi kita tetap tidak boleh membiarkan perkara itu membelenggu hidup,
jadi jalan terbaik amalkan kongsi kereta dan kerap gunakan kenderaan awam,”
katanya.
Post Views: 155