Di Malaysia, Ramadan dan Syawal boleh dianggap sebagai bulan untuk menikmati pelbagai juadah enak.

Sepanjang tempoh tersebut, setiap isi rumah menyediakan hidangan untuk berbuka puasa dan melakukan persiapan menjelang hari kemenangan itu.

Situasi ini mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap barangan asas seperti sayur, ikan, ayam, daging, kambing, tepung, mentega dan cili.

Peningkatan permintaan itu telah menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara drastik.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohd. Azlan Shah Zaidi berkata, peningkatan harga barang berlaku antaranya disebabkan tindakan orang tengah.

Ujarnya, orang tengah cuba mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan untuk menaikkan harga terutamanya barang-barang mentah yang diguna setiap hari.

“Orang tengah ini bertindak sebagai pemain harga dalam pasaran. Mereka mempunyai kuasa menentukan harga tanpa mengikut harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Mohd. Azlan, ketidaktentuan dasar kerajaan terutamanya struktur cukai turut menjadi penyumbang kepada peningkatan harga barang ketika ini.

Keliru

Katanya, pengumuman kerajaan menetapkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada sifar peratus pada hari ini menyebabkan segelintir peniaga menaikkan harga barang.

“Pemborong dan peniaga ketika ini masih dalam keadaan keliru mengenai dasar cukai negara. Selepas GST ditetapkan pada kadar sifar, ia hanya untuk pengguna.

“Namun, peniaga dan pemborong masih perlu membayar cukai pada kadar enam peratus. Situasi ini mungkin menyebabkan mereka bertindak untuk sabotaj dengan menaikkan harga sesuka hati,” terangnya.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan rungutan para pengguna di seluruh negara mengenai peningkatan harga barang secara mendadak iaitu antara empat hingga 50 peratus.

Antara barangan dinaikkan oleh peniaga adalah daging tempatan yang dijual RM36 hingga RM40 sekilogram. Harga cadangan untuk daging tempatan adalah RM30 dan RM33 sekilogram.

Terdapat pihak merasakan peningkatan harga barang berlaku disebabkan tindakan sabotaj peniaga dan ketiadaan menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ketika ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mengambil langkah penguatkuasaan bagi mengawal harga barang.

Jelasnya, KPDNKK perlu turun membuat tinjauan di kedai runcit, pasar raya dan pasar basah di seluruh negara.

“Peningkatan harga barangan ini berlaku disebabkan oleh sikap segelintir pemborong dan peniaga yang berkiblatkan keuntungan besar.

“Justeru, undang-undang perlu ditegakkan. Mereka yang bersalah perlu dihukum supaya fenomena ini tidak berlaku pada masa depan,” katanya.

Pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mencatut.

Sekiranya disabit kesalahan, bagi orang perseorangan, denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya akan dikenakan bagi kesalahan pertama.

Kesalahan kedua dan berikutnya akan dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Talian khusus

Bagi pertubuhan perbadanan atau syarikat akan dikenakan denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan pertama manakala denda sebanyak RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Tambah Nadzim, KPDNKK perlu menyediakan talian khusus bagi memudahkan pengguna menyalurkan maklumat mengenai peniaga tidak jujur.

Dia memaklumkan, ketika ini tiada talian khusus yang membolehkan pengguna mengadu mengenai masalah peningkatan harga kepada kerajaan.

“Kerajaan baharu ini perlu mewujudkan satu talian khusus buat pengguna melaporkan salah laku peniaga. Talian yang ada ketika ini terlalu banyak kerenah birokrasi sehingga membuatkan pengguna muak,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim menyarankan supaya pengguna memboikot peniaga yang menjual barang melebihi harga ditetapkan oleh kerajaan.

Tegasnya, pembeli mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan harga terbaik seperti membuat perbandingan harga di beberapa tempat sebelum membeli.

“Pengguna mempunyai hak untuk memboikot pembeli. Kalau pengguna masih membeli pada harga tinggi, maka kuasa pembeli terhadap peniaga sudah tiada.

“Tanpa peniaga cekik darah ini, pengguna masih boleh mendapat barang keperluan, misalnya di pasar raya besar yang menawarkan harga lebih stabil,” katanya.