857) HARIAN METRO 3/8/13- Apa hal hanya amaran…
24 Aug 2013
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
Kuala Lumpur:
“Tiada makna kalau sekadar beri amaran kepada pengusaha pusat
penyembelihan ayam terbabit, esok lusa mereka lakukan kesalahan sama berulang
kali dan yang menerima akibatnya nanti adalah pengguna Islam.
“Sepatutnya
sejak dulu lagi kenakan tindakan dan hukuman yang seberat-beratnya kepada
pengusaha supaya mereka takut melakukan kesalahan yang sama,” kata Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengulas
mengenai empat pusat penyembelihan ayam di sekitar Lembah Klang yang diserbu
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kelmarin kerana tidak memenuhi standard
halal ditetapkan.
Nadzim berkata,
pihaknya sudah kerap kali menyuarakan rasa tidak puas hati berkaitan tindakan
pengusaha rumah penyembelihan ayam yang mengambil mudah keperluan orang Islam,
namun sehingga kini tindakan penguatkuasaan hanya sekadar amaran kepada mereka.
Beliau berkata,
perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Islam amat mementingkan kebersihan
dan halal haram dalam penyediaan makanan.
“Kita kesal
kerana walaupun isu ini sudah dibangkitkan sejak berbelas-belas tahun lalu,
tapi masih ada pengusaha yang berani melakukan sedemikian. Ini disebabkan
tindakan dikenakan kepada pengusaha begitu longgar, sekali gus tidak membawa
apa-apa makna kepada mereka.
“Hanya satu
saja cara nak beri pengusaha ingatan bahawa pihak berkuasa memandang serius isu
berkaitan penyediaan makanan umat Islam iaitu mengenakan tindakan
seberat-beratnya termasuk mendakwa di mahkamah. Bagi saya amaran tidak lagi relevan
untuk pengusaha tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Beliau juga kesal
kerana walaupun ada peruntukan bagi kesalahan itu iaitu Akta Perihal Dagangan
(APD) 2011 dan Persijilan Halal namun tindakan ke atas pengusaha yang terbabit
tidak berupaya memberi pengajaran kepada mereka.
“Kita patut
contohi penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan di negara jiran yang
tidak berkompromi sekiranya rakyatnya melakukan kesalahan,” katanya.
Semalam Harian Metro
melaporkan mengenai empat pusat penyembelihan ayam yang dikesan menggunakan
arus elektrik berlebihan bagi mempercepatkan proses kematian ayam.
Post Views: 259