KUALA LUMPUR 11 Jul – Program “Gerakan Kuasa Pengguna” oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kembali bersiaran untuk musim kedua menerusi platform Bernama News Channel.
Program yang mendapat sambutan baik pada musim pertamanya bersiaran kini mendapat tajaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, mendapat tajaan daripada PTPTN pada musim ini adalah satu suntikan motivasi untuk pihaknya menambahbaik program tersebut.
“Mendapat tajaan ini adalah pengiktirafan kepada usaha PPIM dalam membawa pelbagai isu semasa yang bersifat rakyat.
Tentunya dengan penajaan ini, kami akan kupas pelbagai isu-isu yang lebih menarik dan bersifat kontemporari.”
Program “Gerakan Kuasa Pengguna” musim kedua akan disiarkan selama 13 minggu bermula 18 Julai 2018, menerusi platform BERNAMA News Channel di saluran Astro 502, HyppTV 631, MyTV 121.
Program ini akan membuka ruang kepada masyarakat untuk memberi pendapat secara langsung mengenai masalah isu semasa. Pelbagai isu kepenggunaan yang bakal dikupas antaranya Pinjaman Ah Long, Hak Pengguna, Gores dan Menang dan banyak lagi.
Turut hadir pada majlis pelancaran Program “Gerakan Kuasa Pengguna” itu adalah & Ketua Eksekutif PTPTN, En. Wan Ahmad Wan Yusoff dan Ketua Pegawai Operasi Bernama News Channel, Encik Hakimi Mohd Zain. – MEDIA PPIM
Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60137990032. Terima Kasih. [TAMAT]